Jumaat, 26 April 2019 | 7:15pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (dua dari kanan) hadir pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Dondang Sayang 'In The Representative List of Humanity' di Perkampungan Hang Tuah, Duyong. - NSTP/Khairunisah Lokman
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi (dua dari kanan) hadir pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Dondang Sayang 'In The Representative List of Humanity' di Perkampungan Hang Tuah, Duyong. - NSTP/Khairunisah Lokman

MOTAC tak sokong bawa masuk budaya masyarakat luar

MELAKA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak menyokong sebarang usaha membawa masuk budaya masyarakat luar semata-mata bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata sebaliknya Kerajaan Persekutuan akan terus memastikan kepelbagaian budaya dan seni warisan masyarakat tempatan terus berkembang serta terpelihara melalui pelbagai pengiktirafan sehingga ke peringkat tertinggi seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Perlu kita pelihara (seni dan budaya tempatan). Negara kita cukup dengan pelbagai budaya tersendiri yang boleh diangkat dan diketengahkan tetapi kita tidak bawa daripada luar (budaya luar) untuk (asimilasi) budaya kita,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengundang kumpulan K-Pop dari Korea, Bangtan Boys (BTS) ke negara ini bagi mempromosikan TMM2020.

Hasrat kementerian itu bagaimanapun menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) malah artis industri tanah air.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil Pengiktirafan ‘Dondang Sayang In The Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity’ oleh UNESCO kepada Kerajaan Negeri Melaka diwakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Ahli Parlimen Silam itu turut mendakwa tidak ada sebarang bentuk kerjasama atau persetujuan membabitkan usaha KBS itu namun tidak melarang jika ia diusahakan berdasarkan kapasiti artis luar negara itu sendiri.

“Kita tidak larang (membuat persembahan di Malaysia) jika masuk atas dasar kapasiti sendiri, tetapi untuk guna (artis Korea) sebagai budaya (dalam negara) kita tidak sokong,” katanya.

Berita Harian X