Rabu, 24 April 2019 | 11:32am
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. - Foto Rosela Ismail
MENTERI Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. - Foto Rosela Ismail

Mesir cadang buka semula laluan penerbangan Kaherah-KL

PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik hasrat dan cadangan Mesir untuk menghubungkan semula laluan penerbangan Kaherah-Kuala Lumpur.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata kenyataan Duta Mesir ke Malaysia, Gamal Abdelrehim Metwally berhubung perkara itu semalam adalah berita baik buat negara.

“Langkah terbaharu dan cadangan oleh Gamal amat kita nanti-nantikan kerana ia akan melonjakkan sektor pelancongan negara.

“Dengan pembukaan semula laluan penerbangan itu nanti, negara akan menerima lebih ramai pelancong dari Asia Barat selepas ini.

“Ini berita baik buat kita dan ia dinyatakan Gamal ketika pertemuan kami semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Gamal mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohamaddin di pejabatnya di sini.

Dalam pertemuan itu, antara perkara yang dibincangkan ialah berkenaan cara terbaik untuk melonjakkan industri pelancongan kedua-dua negara, termasuk cadangan Mesir untuk membuka semula laluan penerbangan Kaherah-Kuala Lumpur.

Gamal berkata, hasrat pembukaan semula laluan itu bagi Malaysia Airlines dan Egypt Air telah menjadi sebahagian daripada pelan terbaharu pelancongan negara itu.

Katanya, Egypt Air akan melakukan penerbangan semula ke Kuala Lumpur dan Malaysia Airlines akan terbang semula ke Kaherah.

“Ia tidak hanya baik untuk pelancongan, malah dari sudut perdagangan kedua-dua negara,” katanya.

Berita Harian X