Selasa, 23 April 2019 | 7:39pm
Mohanan (empat dari kanan) menerima hadiah sebuah Perodua Myvi sempena Kempen Cabutan Bertuah Hadiah Bonanza Ar Rahnu YaPEIM. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Mohanan (empat dari kanan) menerima hadiah sebuah Perodua Myvi sempena Kempen Cabutan Bertuah Hadiah Bonanza Ar Rahnu YaPEIM. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Mohanan teruja bawa pulang Myvi dalam cabutan bertuah YaPEIM

PUTRAJAYA: Kekecewaan tidak mendapat jongkong emas terubat bagi Mohanan Manickam, 60, apabila beliau menerima hadiah sebuah Perodua Myvi sempena Kempen Cabutan Bertuah Hadiah Bonanza Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Satu-satunya pemenang bukan beragama Islam, Mohanan mengakui teruja apabila diumumkan antara 10 pemenang Perodua Myvi selepas melabur di Ar Rahnu YaPEIM.

“Ini hadiah terbesar pernah saya terima selepas menyertai pelbagai peraduan. Saya melabur di kawasan Hutan Melintang, pada ketika itu diberi satu kupon untuk ditulis nama dan nombor telefon tanpa mengetahui apa-apa mengenai hadiah.

“Setiap kali melalui kawasan yang terdapat skrin iklan mengenai kempen itu, saya rasa terkilan kerana lihat orang lain menerima jongkong emas, tetapi saya tidak pernah bernasib baik.

“Bila diberitahu mengenai hadiah kereta yang bakal diterima, saya terkejut...rupa-rupanya saya kena bersabar kerana tuah saya adalah hadiah lebih besar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Bonanza Ar Rahnu YaPEIM di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hari ini.

Majlis penyerahan hadiah disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Hadir sama, Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin.

Ditanya mengapa memilih Ar Rahnu YaPEIM, Mohanan yang bekerja sebagai pemandu berkata beliau mahu mengelak membuat pinjaman di tempat yang tidak sepatutnya kerana kadar faedah dikenakan terlalu tinggi.

“Wang yang saya terima itu untuk kegunaan perniagaan, saya tidak mahu pinjam dengan orang kerana ‘bunga’ dikenakan agak tinggi iaitu enam hingga 10 peratus.

“Dengan Ar Rahnu, ada pilihan untuk mencagar emas dan dapat duit... itu lebih mudah buat saya,” katanya.

Sementara itu, Mujahid berkata perniagaan Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu itu adalah inisiatif bagi menyediakan kemudahan mikro kredit secara mudah kepada masyarakat berpendapatan rendah serta golongan yang tidak layak mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan.

“Peminjam terdiri daripada peniaga kecil yang cuma mahu jumlah kecil seperti RM10,000 atau RM12,000. Jadi, kita sediakan konsep cagaran iaitu cagar emas mengikut konsep patuh syariah tanpa riba. Emas yang dicagar itu juga diberi mengikut harga pasaran semasa.

“Program kempen ini diharap diteruskan pada tahun depan, namun ia bergantung kepada keputusan lembaga pengarahnya,” katanya.

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi kempen itu, yang turut disertai lebih 7,600 pelanggan setia dari semua 203 cawangan YaPEIM seluruh negara.

Sementara itu, Abibullah berkata kempen promosi hadiah bonanza itu akan diteruskan sebagai acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Kami menyasarkan penyertaan lebih 14,000 untuk tahun ini iaitu dua kali ganda daripada penyertaan yang diterima pada edisi pertama tahun lalu.

"Sejumlah RM500,000 akan diperuntukkan bagi melaksanakan program Cabutan Hadiah Bonanza Ar-Rahnu selain tambahan RM500,000 lagi untuk Kempen Cagar Emas dan Menangi Cabutan Bulanan.

"Bagi Cabutan Bonanza tahun ini, kita bercadang memberi hadiah barangan kemas bernilai RM50,000 kepada setiap 10 pemenang dengan kos keseluruhan RM500,000," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan meneruskan kempen hadiah bulanan di 203 cawangan statik seluruh negara dan setiap cawangan akan diberi satu wafer emas seberat 1 gram secara bulanan selama setahun membabitkan peruntukan kira-kira RM500,000.

Abibullah berkata penganjuran program itu turut menarik pelanggan bukan Islam Islam untuk menggunakan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah yang dikendalikan sepenuhnya oleh Koperasi YaPIEM Berhad.

Menurutnya, lebih RM147 juta nilai marhum emas terkumpul sepanjang tempoh kempen Cabutan Hadiah Bonanza Ar-Rahnu 2018 yang berlangsung mulai Januari hingga Disember tahun lalu.

"Ia membabitkan pengeluaran sejumlah RM100.5 juta pinjaman dan menjana sejumlah pendapatan kepada YaPEIM sebanyak RM8.4 juta," katanya.

Berita Harian X