Ahad, 21 April 2019 | 3:05pm
Munirah (kiri) merasmikan Sambutan Hari Bumi 2019 Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu. - NSTP/Edmund Samunting

JAS sedia pelan tindakan hadapi El Nino

KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menyiapkan pelan tindakan bagi mengekang aktiviti pembakaran terbuka berikutan fenomena El Nino yang diramal memberi kesan di negara ini, khususnya di Sabah, berlaku bulan depan.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Kamarulnajuib Che Ibrahim, berkata selain JAS, pelan tindakan kebangsaan itu turut membabitkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, Jabatan Pendidikan turut dimasukkan dalam pelan tindakan berkenaan bagi membuat tindakan perlu yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan murid, pelajar serta guru disebabkan ancaman pembakaran terbuka.

“Semua (agensi) mengambil peranan dalam pelan tindakan kebangsaan itu. Jika berlaku apa-apa kebakaran, semua agensi akan bertindak, malah Jabatan Pendidikan juga diminta mengambil tindakan jika berlaku jerebu yang mencapai paras bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Bumi 2019 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, di sini, hari ini.

Terdahulu, Munirah berkata pengaruh El Nino diramal melanda negara ini dengan Sabah dikenal pasti lebih terjejas kerana cuaca panas dan kering di negeri ini sejak awal tahun dijangka berpanjangan sehingga bulan depan.

“Oleh itu sama-samalah kita mencegah pembakaran terbuka bagi mengurangkan pelepasan asap ke udara yang kita khuatiri bukan saja menjejaskan udara, malah boleh merebak ke kawasan lebih luas hingga memusnahkan khazanah alam di Sabah.

“Keadaan berasap daripada pembakaran terbuka yang boleh dilihat oleh pelancong luar sebaik kapal terbang memasuki ruang udara kita juga tidak baik untuk imej pelancongan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata nasihat itu bukan hanya membabitkan petani atau peladang yang kebiasaannya melakukan pembakaran untuk membersihkan kebun atau ladang, malah orang ramai.

Katanya, konsep pembakaran sifar seperti diamalkan di ladang kelapa sawit dapat dipraktikkan semua pihak kerana ia bukan saja memastikan udara bersih, malah dapat menghasilkan baja kompos yang memberi manfaat untuk pertanian.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan Hari Bumi kali ini termasuk kempen pengumpulan sisa elektrik dan elektronik atau e-waste bagi menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan melupuskan barangan elektrik dan elektronik secara betul bagi mengelak pencemaran alam sekitar.

JAS turut meneruskan kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna bagi menyedarkan masyarakat mengenai keburukan penggunaan plastik terhadap alam sekitar terutama membabitkan pencemaran laut yang boleh mengancam banyak hidupan marin.

Turut diadakan ialah Ekspedisi Lindungi Spesies Kita sempena tema Hari Bumi tahun ini iaitu Lindungi Spesies Kita yang dibuat di Gunung Nopunggok, Kota Belud; penanaman pokok bakau di Pusat Tanah Lembab Kota Kinabalu (KKWC) dan aktiviti `plogging’ atau larian sambil mengutip sampah di pantai Teluk Likas, di sini.

Berita Harian X