Ahad, 21 April 2019 | 2:47pm
KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Radzi Jidin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Radzi Jidin. - Foto Mohd Fadli Hamzah

BERSATU sokong kuota kemasukan matrikulasi dikekalkan

KUALA LUMPUR: Pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat kepada pelajar Bumiputera bagi Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) selaras dengan matlamat asal program itu dalam membangunkan potensi kelompok berkenaan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Radzi Jidin, berkata parti itu menyokong penuh dasar yang mengekalkan kuota kemasukan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi Program Matrikulasi KPM.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan matlamat membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

“Mengenai isu pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berketurunan India yang gagal mengikuti Program Matrikulasi, BERSATU yakin isu ini akan dapat diselesaikan dengan baik oleh Kementerian Pendidikan.

“Secara prinsipnya, mana-mana pelajar yang berkelayakan serta memenuhi syarat kementerian wajar diberikan tempat untuk mengikuti pengajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radzi berkata, BERSATU memahami hakikat dengan lebih ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang SPM akan menyebabkan persaingan untuk mengikuti Program Matrikulasi menjadi semakin sengit.

Beliau berkata, tambahan pula, dengan dasar kerajaan memberikan keutamaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40.

“Dasar itu akan menyebabkan terdapat pelajar cemerlang SPM daripada keluarga bukan B40 yang tidak mendapat tawaran ke Program Matrikulasi kementerian.

“Justeru, alternatif yang lebih baik perlu disediakan kepada pelajar cemerlang ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya BERSATU menyokong penuh usaha kementerian untuk meningkatkan imej dan mutu Kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

“Ini sebagai alternatif terbaik kepada pelajar cemerlang SPM untuk mengikuti pengajian prauniversiti selain Program Matrikulasi KPM,” katanya

Berita Harian X