Sabtu, 20 April 2019 | 7:12pm
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, (tengah), Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniSZA Profesor Madya Dr. Mohd Afandi Salleh (kanan) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat (kiri) pada majlis perasmian Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMawAR) 2019 "Mahasiswa Malaysia Baharu Tolak Rasuah" di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kampus Gong Badak. - Foto Mohd Aizat Shamsuddin
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, (tengah), Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniSZA Profesor Madya Dr. Mohd Afandi Salleh (kanan) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat (kiri) pada majlis perasmian Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMawAR) 2019 "Mahasiswa Malaysia Baharu Tolak Rasuah" di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kampus Gong Badak. - Foto Mohd Aizat Shamsuddin

Ahli politik, pegawai kanan kerajaan bakal diwajibkan isytihar harta

KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir mewujudkan peruntukan khusus mengikut Akta SPRM 2009 bagi mewajibkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan membuat pengisytiharan harta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata proses penyediaan giat dilakukan dan hasilnya akan dikemukakan kepada bahagian penggubalan sebelum dibawa ke Kabinet.

“Kita harap ia dapat direalisasikan menjelang hujung tahun ini untuk mewujudkan peruntukan atau akta khusus bagi mewajibkan pengisytiharan harta kerana ketika ini kita hanya bergantung kepada kod etika,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KoMawAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat.

Shamsun Baharin berkata, seramai 122 ahli Parlimen kerajaan dan 76 anggota pentadbiran sudah membuat pengisytiharan harta.

“Hanya enam ahli Parlimen kerajaan dan tujuh anggota pentadbiran belum berbuat demikian.

“Berdasarkan kepada kod etika, mereka perlu membuat pengisytiharan harta kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan salinannya diberi kepada SPRM.

“Jika undang-undang itu tidak diluluskan atau tiada peruntukan khusus, kita bertindak berdasarkan akta sedia ada tapi kalau ada peruntukan undang-undang spesifik dan kuasa tertentu diberi kepada SPRM, kita boleh mengambil tindakan secara lebih jelas,” katanya

Sementara itu, Shamsun Baharin berkata, statistik SPRM dari 2014 hingga Mac lalu menunjukkan, tangkapan berhubung kes rasuah menyaksikan 53.7 peratus atau 2,401 yang ditangkap berumur 40 tahun ke bawah.

Katanya, ia seiring kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002 yang mana 30.5 peratus responden mengakui sanggup menerima rasuah jika berkuasa.

“Mereka ini mungkin berada dalam dunia pekerjaan sekarang dan SPRM akan terus memberi kesedaran dalam kalangan pelajar universiti sebagai bakal pemimpin masa depan,” katanya.

Berita Harian X