Sabtu, 20 April 2019 | 6:38pm
Sebahagian 480 penerima gembira mendapat surat tawaran oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran di Perkarangan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian 480 penerima gembira mendapat surat tawaran oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran di Perkarangan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Lancar Sekretariat Muafakat Komuniti pertama di Kelantan

KOTA BHARU: Sekretariat Muafakat Komuniti yang dibentuk di bawah Dasar Komuniti Negara baharu akan diperluaskan ke semua projek perumahan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata meskipun sebelum ini program berkenaan sudah menjadi perintis di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Selangor, namun beliau mahu projek itu dilaksanakan di PPR Kota Bharu.

Beliau berkata, Kelantan akan menjadi model atau contoh bagi penubuhan sekretariat terbabit sebelum dilaksanakan kawasan lain.

“Kita faham PPR sebelum ini tidak mampu dikendalikan dan diselenggara oleh penduduk kerana mereka tiada kapasiti untuk menguruskan 1,000 unit rumah dengan 6,000 penduduk.

“Bagaimanapun, sekretariat ini yang diuruskan sendiri oleh pegawai KPKT akan melatih supaya penduduk menjadi masyarakat yang berdaya dalam pelbagai aspek termasuklah kebersihan, keselamatan dan program komuniti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua kanan) menyampaikan surat tawaran kepada penerima Wan Nor Siti Erma Abdullah, 37 (dua kiri) di Majlis Penyerahan Surat Tawaran di Perkarangan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua kanan) menyampaikan surat tawaran kepada penerima Wan Nor Siti Erma Abdullah, 37 (dua kiri) di Majlis Penyerahan Surat Tawaran di Perkarangan Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di Wakaf Mek Zainab. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Dari segi ekonomi, sekretariat ini juga akan lihat pekerjaan penduduk supaya kepakaran mereka dapat dimanfaatkan dalam PPR ini tanpa mengambil pekerja luar. Misalnya, kalau pintu rosak, kita boleh dapatkan perkhidmatan tukang kayu, atau kalau paip rosak, mungkin ada penduduk kerja ‘plumber’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Perasmian Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti PPR Kota Bharu, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT, Datuk Dr Mary Wong Lai Lin; serta Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Pada majlis itu, Zuraida menyerahkan surat tawaran PPR Kota Bharu kepada 480 peserta selepas melalui proses tapisan membabitkan 5,535 permohonan yang diterima sejak tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Zuraida berkata, KPKT akan menawarkan untuk menjual rumah PPR berkenaan kepada peserta, jika mereka mempunyai rekod baik dalam pembayaran sewa bulanan di projek perumahan berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, harga tawaran bergantung kepada ‘median income’ di sesuatu kawasan, manakala kutipan sewa dan penyelenggaraan yang ditetapkan tidak melebihi RM350 sebulan akan diuruskan oleh kerajaan negeri.

Mengulas mengenai 97 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikatakan tersadai akibat kerosakan, Zuraida berkata pihaknya tidak akan melindungi sesiapa, sebaliknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita terbuka dan setakat ini saya rasa bomba serta KPKT tiada isu integriti (kerana) melaksanakan tugas seperti yang sepatutnya. Jadi, kita tengok kepada siasatan dan kalau ada ketirisan kita akan laporkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak beri tempoh masa, saya akan jumpa mereka minggu depan untuk beri syarat dan garis panduan,” katanya.

Berita Harian X