Jumaat, 19 April 2019 | 12:18pm
Kamal (kiri) menyampaikan pembentangan korporat MPB kepada pihak pengurusan MAHB di Sri Pentas, Bandar Utama. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Pengurusan kanan MAHB lawat Media Prima

KUALA LUMPUR: Pengurusan kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengadakan lawatan rasmi ke Media Prima Berhad (MPB) bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Mengetuai rombongan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dengan disambut Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Johan Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Mereka diberikan taklimat korporat oleh pengurusan kanan MPB, sesi perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum rombongan melawat ke konti Radio Hot FM dan Studio Berita TV3.

Yang turut hadir bagi pihak MAHB ialah Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Nik Anis Nik Zakaria.

Manakala bagi pihak MPB ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul; Ketua Pegawai Operasi Big Tree Outdoor, Mohd Shukor Ariffin dan Ketua Pegawai Operasi, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Raja Azmi berkata, pihaknya berbangga dengan lawatan dan pertemuan selama dua jam membuka mata dengan perkembangan media dalam pelbagai bidang.

“Melihat perkembangan media dalam dunia digital, percetakan, radio dan pengiklanan. Kami merasa banyak perkara yang boleh bekerjasama yang membolehkan MAHB dilihat sebagai sebuah agensi terbaik dalam pengendalian lapangan terbang.

“Pertemuan ini sesuatu yang bagus dalam mengukuhkan sasaran MAHB dalam kalangan penumpang dan pemegang taruh,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan wujudnya kerjasama perniagaan, Raja Azmi berkata, pihaknya melihat ia satu langkah yang baik dalam menggerakkan organisasi ke tahap yang lebih jauh.

“Pelbagai peluang dan kemungkinan yang boleh dilakukan namun perbincangan perlu dilakukan lebih mendalam di peringkat pelaksana yang diharapkan dapat memberi hasil yang terbaik,” katanya.

Berita Harian X