Khamis, 18 April 2019 | 2:15pm
CHOW Kon Yeow
CHOW Kon Yeow

PSR diluluskan dengan 18 nasihat

GEORGETOWN: Cadangan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan, selepas dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelaksanaan PSR, dan kerajaan negeri perlu mematuhi 18 nasihat yang ditetapkan.

“MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri sudah menimbang Cadangan Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) dan bersetuju dengan pelaksanaannya dengan mematuhi 18 nasihat yang ditetapkan.

“Cadangan projek ini dikemukakan kerajaan Pulau Pinang bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

“Pihak kerajaan negeri akan mematuhi nasihat MPFN dan ulasan jabatan teknikal berkaitan apabila melaksanakan projek ini, selari dengan Seksyen 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan 18 nasihat yang ditetapkan MPFN bagi pelaksanaan projek PSR berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang menjalankan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai PIP, dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Projek mega itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di negeri ini dikatakan paling teruk terjejas, selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

Kontroversi bagi membangunkan tiga pulau buatan itu terus membelenggu hampir 1,500 nelayan tradisi di kawasan berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai punca pendapatan, sejak ia diperkenalkan pada 2013.

Info PIP

Kos - RM49 bilion

Membabitkan pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya

Membabitkan projek tambakan tiga pulau di bahagian selatan perairan Pulaj Pinang bagi menjana modal pelaksanaan PIP

Keluasan tambakan Pulau A - 930 hektar

Keluasan tambakan Pulau B - 566 hektar

Keluasan tambakan Pulau C - 225 hektar

Pulau C akan ditambak jika tambakan Pulau A dan B tidak cukup untuk menampung kos pelaksanaan PIP

Keluasan dataran berlumpur - 2.2 juta meter padu (m3)

Tambakan Pulau A akan menggunakan 93.8 juta m3 pasir

Tambakan Pulau B akan menggunakan 58 juta m3 pasir

Tambakan Pulau C akan menggunakan 37.3 juta m3 pasir

Tambakan ketiga-tiga pulau buatan akan menggunakan 4.5 juta m3 batuan

JAS, Jabatan Laut dan Jabatan Hutan antara agensi terbabit untuk meneliti laporan EIA cadangan tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang.

Aspek hidrologikal serta kesan kepada kehidupan laut dan masyarakat setempat antara fokus utama yang akan diteliti dalam laporan EIA.

Berita Harian X