Selasa, 16 April 2019 | 7:08pm
PENGANALISA di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Mohammad Nizam Yahya hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa. - NSTP/Eizairi Shamsudin
PENGANALISA di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Mohammad Nizam Yahya hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Tiga akaun bank syarikat berkaitan 1MDB diserah kepada Pasukan Khas

KUALA LUMPUR: Pegawai Pengurusan Risiko Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, pihaknya menyerahkan tiga salinan dokumen membabitkan akaun Affin Bank milik syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kepada Pasukan Khas Siasatan 1MDB.

Penganalisa di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Mohammad Nizam Yahya, dalam keterangannya pada perbicaraan hari ketiga kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berkata akaun terbabit milik Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim pada sesi pemeriksaan utama, saksi ketiga pendakwaan itu, berkata beliau sebelum itu diarahkan untuk mendapatkan notis akaun milik Syarikat Ihsan Perdana.

Suhaimi: Terangkan siasatan yang dilakukan?

Mohammad Nizam: Pada 6 Julai 2015 selepas mendapat arahan Pengarah Jabatan (Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM), Abdul Rahman Abu Bakar, saya diarah untuk menyerahkan notis di bawah Seksyen 37(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) kepada Affin Bank Sdn Bhd bagi mendapatkan dokumen perbankan milik Syarikat Ihsan Perdana berkaitan 1MDB.

Suhaimi: Di mana kamu pergi untuk menyerahkan notis?

Mohammad Nizam: Saya pergi ke Ibu Pejabat Affin Bank di Jalan Raja Chulan.

Suhaimi: Kamu bertemu dan menyerahkan kepada siapa?

Mohammad Nizam: Saya serahkan notis itu kepada Pegawai Affin Bank, Nimma Safira Khalid.

Suhaimi: Adakah kamu menerima kesemua dokumen daripada Affin bank?

Mohammad Nizam: Tidak kesemuanya.

Suhaimi: Selepas menerima dokumen itu apa yang kamu lakukan?

Mohammad Nizam: Saya simpan di jabatan saya di tempat yang selamat dan pada tarikh yang sama, beberapa wakil pasukan khas datang meneliti serta membuat salinan dokumen yang diserahkan Affin Bank kepada saya.

Suhaimi: Adakah mereka ambil dokumen asal?

Mohammad Nizam: Tidak, dokumen asal diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Jun 2018.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib bertanyakan sama ada saksi mengetahui bahawa Pasukan Khas 1MDB itu dianggotai antaranya bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Saksi itu menjawab; “Hanya melalui media.”

Mohammad Nizam kemudian memberitahu mahkamah, beliau turut dirakamkan percakapan di Pejabat SPRM pada awal Mac tahun ini.

Harvinderjit: Bila tarikh asal rakaman diberi?

Mohammad Nizam: Mac tahun ini.

Harvinderjit: Awal atau pertengahan?

Mohammad Nizam: Pertengahan.

Harvinderjit: Berapa kali rakaman keterangan diambil?

Mohammad Nizam: Sekali.

Terdahulu selepas selesai pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan, memohon mahkamah untuk menyambung sesi soal balas keesokan hari.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, bagaimanapun tidak membenarkan permohonan itu atas alasan waktu masih awal dan meminta pemeriksaan balas diteruskan.

Perbicaraan bersambung esok.

Berita Harian X