Sabtu, 13 April 2019 | 6:01pm
PRESIDEN WMPO, Datuk Dr Hashim Abdul Wahab. -NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
PRESIDEN WMPO, Datuk Dr Hashim Abdul Wahab. -NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

WMPO wujud rangkaian perniagaan Melayu Polinesia

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Melayu Polinesia Sedunia (WMPO) akan mewujudkan rangkaian perniagaan dalam kalangan belia Melayu Polinesia membabitkan 33 negara di seluruh dunia.

Presidennya, Datuk Dr Hashim Abdul Wahab, berkata kekayaan negara didiami masyarakat itu dengan sumber semula jadi seperti hasil laut, mutiara, petroleum, kraf tangan, rempah dan destinasi pelancongan perlu dimanfaatkan golongan berkenaan.

Beliau berkata, selain pengeksportan barang, golongan berkenaan perlu kreatif bertukar maklumat berhubung pelaburan boleh dibuat di negara dalam lingkungan peta Melayu Polinesia.

Katanya, dalam industri pelancongan misalnya, mereka boleh membantu mempromosi destinasi pelancongan dimiliki dan diurus bangsa serumpun.

“Begitu juga perniagaan rempah ratus, mungkin boleh diwujudkan sistem pertukaran barang untuk memudahkan perniagaan,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Melayu Polinesia bertema `Pengukuhan Keusahawanan Merentasi Belia Melayu-Polinesia di Balai Ungku Aziz di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Seramai 140 peserta membabitkan 33 negara menyertai persidangan antarabangsa berkenaan termasuk dari New Zealand, Myanmar, Kemboja dan Thailand.

Hashim berkata, persidangan itu mengukuhkan lagi hubungan antara rumpun Melayu Polinesia khususnya usahawan belia.

“Sebelum ini, kita mengadakan persidangan sama di Seremban pada 2012 dan Auckland, New Zealand pada 2014 yang antaranya disertai kaum Maori, juga rumpun Melayu Polinesia.

“WMPO yang diwujudkan pada 2011 juga sebenarnya ilham sekumpulan masyarakat Maori dari New Zealand yang mahukan sebuah persatuan sedunia untuk menghubungkan rumpun Melayu Polinesia,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Bersepadu Musa- Asiah (SEPAMA) di Thbaung Khmum, Kemboja, Dr Mohamad Zain Musa yang berbangsa Melayu Champa berkata, SEPAMA yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu akan dikembangkan ke peringkat sekolah menengah, hujung tahun ini.

Katanya, sekolah itu menggunakan tulisan Jawi dan bahasa Melayu sebagai pengantar, selain bahasa kebangsaan Kemboja iaitu Khmer, bahasa Arab serta bahasa Inggeris dan tulisan Champ yang diwarisi Melayu Champa.

Beliau berkata, di negara mereka ada sekitar 500,000 masyarakat Melayu Champa yang dikatakan 70 peratus bahasa mereka mirip bahasa Melayu.

“Kami juga meminta masyarakat Islam khususnya rumpun Melayu Polinesia membantu menyalurkan bantuan untuk kami membeli sebidang tanah dan membina bangunan lebih selesa. Kami memerlukan sekitar RM350,000,” katanya.

Berita Harian X