Rabu, 10 April 2019 | 4:47pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PKR tak akan calonkan nama Menteri Besar Johor

KUALA LUMPUR: PKR tidak akan menamakan individu daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar Johor yang baharu, sebaliknya sedia menerima sesiapa sahaja yang dicalonkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia bagi menghormati konsensus yang dicapai bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH), bahawa wakil BERSATU yang akan mengisi jawatan Menteri Besar Johor.

Beliau menyerahkan pemilihan Menteri Besar Johor bagi menggantikan Datuk Osman Sapian, kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini sudah menjadi persefahaman kita menerusi rundingan sebelum ini, bahawa sekarang ini, wakil BERSATU yang akan menjadi Menteri Besar Johor.

“Kita serahkan pemilihan ini kepada kebijaksanaan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin untuk memutuskannya. Itu pendirian kita.

“Kebiasaannya, sesiapa yang dipilih itu akan dimaklumkan kepada kita (pemimpin PH), dan kita akan setuju,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PKR akan mengusulkan nama individu daripada parti itu untuk mengisi jawatan Menteri Besar Johor yang dikosongkan sejak Isnin lalu.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Osman sudah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor berkuat kuasa kelmarin, apabila beliau menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, penggantinya belum ditentukan buat masa ini, namun mengikut perjanjian dalam PH, Menteri Besar Johor hendaklah daripada wakil BERSATU.

Dr Mahathir juga berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan seramai tiga hingga empat calon bagi menggantikan Osman, dan PH mungkin akan melantik pemangku buat sementara waktu.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir hari ini bahawa keputusan melantik Menteri Besar Johor bukan di tangan Sultan Johor, Anwar berkata, Perdana Menteri hanya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai hak mereka yang menang dalam pilihan raya untuk menentukan calonnya.

“Perlembagaan jelas menyatakan mengenai mereka yang mendapat undian majoriti di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Namun, persetujuan Sultan (untuk Menteri Besar) dan Yang di-Pertuan Agong (untuk Perdana Menteri) itu diperlukan dalam pelantikan,” katanya.

Berita Harian X