Rabu, 10 April 2019 | 3:28pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Nor’Afiza Saim. - NSTP/Muhammad Sulaiman
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Nor’Afiza Saim. - NSTP/Muhammad Sulaiman

Institut Integriti Malaysia sedia analisis data nilai NACP

KUALA LUMPUR: Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) sedia menganalisis data yang kemudian boleh digunakan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Nor’Afiza Saim, berkata data itu juga seterusnya boleh digunakan untuk menambah baik pelaksanaan inisiatif di bawah NACP jika ia tidak menunjukkan kesan positif.

Katanya, INTEGRITI akan membawa cadangan itu kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) untuk dipertimbangkan.

“Perkara itu (penyediaan data) ada dalam perancangan dan kita akan bawa cadangan itu kepada GIACC pada minggu depan.

“GIACC sedang memantau perkembangan pelaksanaan inisiatif NACP dan INTEGRITI boleh membantu untuk melakukan analisis data yang relevan bagi membantu proses itu.

“Daripada data ini, kita boleh lihat trend pelaksanaan NACP sama ada kesan positif atau negatif, jika kita sudah laksanakan sesuatu perkara tetapi tiada kesan, kita boleh maklumkan GIACC untuk menukar pelan tindakan dan itulah gunanya analisis data ini,” katanya kepada BH selepas menjadi panel program dialog ‘Bersama Perangi Korupsi’ anjuran Institut Pengurusan Malaysia di Hotel Istana, di sini, hari ini.

Berita Harian X