Jumaat, 5 April 2019 | 5:22pm
Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali.
Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali.

Bekas Senator Melaka meninggal dunia

JASIN: Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Akbar Ali, meninggal dunia di Hospital Melaka pagi tadi selepas diserang angin ahmar dua hari lalu.

Akbar, 70, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.05 pagi tadi di sisi isterinya, Datin Kalsom Aziz, serta beberapa ahli keluarga lain.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Kampung Tedong, Serkam, di sini untuk disembahyangkan di Masjid Jamek Tedong sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Tedong, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2008 mewakili Melaka selama tiga tahun, meninggalkan seorang balu, lima anak dan sembilan cucu.

Semasa hayatnya, Allahyarham cergas dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada peringkat jabatan kerajaan, kampung, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Lulusan Universiti Malaya dan Sarjana Sains dari London School of Economics & Political Science (LSE) itu memasuki Perkhidmatan Awam pada 1973 sebagai Perangkawan di bawah Skim Perkhidmatan Perangkawan sehingga beliau bersara sebagai Timbalan Ketua Perangkawan pada 2005.

Susulan kepakaran dan pengalaman yang luas, beliau dipilih mewakili negara dalam pelbagai persidangan, perundingan dan kumpulan pakar yang merangkumi ekonomi, perdagangan antarabangsa, pertanian, alam sekitar dan pembangunan modal insan.

Antara badan antarabangsa yang beliau turut terbabit adalah UN Economic and Social Commission for Asia-Pacific (ESCAP), UN Asia-Pacific Commission on Agricultural Statistics (APCAS), Asian Development Bank (ADB), Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dan Statistical Institute for Asia-Pacific (SIAP).

Beliau kemudian dipinjamkan ke Socio-Economic Research Unit (SERU), Jabatan Perdana Menteri, Institut SEDAR di bawah KEMAS dan seterusnya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada 2001.

Akbar seterusnya diberi kepercayaan untuk melaksanakan pelbagai tugas di Melaka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengurusan Melaka (IMM), Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Melaka (IIM),

Arwah juga pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN), Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Pengurus MAIM Travel, Ketua Pengarang Melaka Hari Ini (MHI) dan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri.

Berita Harian X