Khamis, 4 April 2019 | 6:10pm
MOHAMAD Sabu
MOHAMAD Sabu

Hishammuddin ditempelak cuba raih publisiti murahan

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini menempelak Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa cuba meraih publisiti murahan dengan mengeluarkan kritikan tidak berasas.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membidas Hishammuddin yang cuba mengkritik Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) dengan mendakwa penganjuran tahun ini tidak membawa sebarang inisiatif baharu kepada industri pertahanan.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu menafikan dakwaan Hishammuddin itu, dengan menjelaskan, kontrak, Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Niat (LOI), Surat Setuju Terima (LOA) bernilai lebih RM4 bilion berjaya dimeterai antara kerajaan dan syarikat berkaitan pertahanan pada LIMA’19.

Nilai itu adalah lebih tinggi berbanding yang dimeterai pada penganjuran dua tahun lalu yang bernilai RM3.8 bilion, ketika Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan.

“Kita meterai MoU bernilai RM4 bilion, manakala segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B) pula berjumlah RM500 juta.

“Saya hairanlan dengan dia ini. Kenapa jadi macam itu (keluar kenyataan tak berasas) sedangkan dia bekas Menteri Pertahanan.

“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganjurkan LIMA kali pertama juga umumkan bahawa penganjuran tahun ini adalah yang terbaik,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR yang juga Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menyifatkan Hishammuddin mengeluarkan kenyataan bersifat populis hanya untuk kelangsungan politik peribadinya.

Shamsul Iskandar merujuk kepada kenyataan Hishammuddin yang kini tidak memiliki jawatan penting dalam parti, kononnya semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyokong Dr Mahathir jika ada usaha menjatuhkan beliau.

“PKR beranggapan kenyataan ini adalah cubaan meraih talian hayat politik beliau. Dakwaan kononnya desas desus wujud gerakan dalaman menjatuhkan Perdana Menteri juga jelas adalah helah politik demi survival politik UMNO.

“Bukanlah sesuatu yang sukar dibaca suara Hishammuddin ini yang selama ini langsung tidak didengari dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

“Usaha Hishammuddin mengganggu gugat kesefahaman ini adalah sia-sia dan saya sarankan beliau bermuhasabah dan meneliti kapasiti beliau dalam UMNO,” katanya.

Selasa lalu, Hishammuddin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen mendakwa, LIMA’19 tidak membawa sebarang pembaharuan, khususnya kepada industri pertahanan negara.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu turut berkata, Barisan Nasional (BN) akan menyokong penuh Dr Mahathir jika pihak tertentu, khususnya dari dalam PH cuba menggugat kedudukan Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengulas kenyataan Hishammuddin semalam dilaporkan berkata, keputusan BN untuk menyokong Dr Mahathir atau tidak, hanya boleh diputuskan menerusi Dewan Tertinggi parti.

Berita Harian X