Khamis, 4 April 2019 | 5:56pm
TEO Nie Ching (dua dari kiri) bermesra dengan murid-murid ketika lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Sebandi Matang, Asajaya, Kota Samarahan. - Foto L.Manimaran
TEO Nie Ching (dua dari kiri) bermesra dengan murid-murid ketika lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Sebandi Matang, Asajaya, Kota Samarahan. - Foto L.Manimaran

Enggan daftar anak OKU sebagai MBK di sekolah kerajaan

KUCHING: Malu dan tidak dapat menerima hakikat bahawa anak adalah orang kurang upaya (OKU) menjadi antara punca utama kebanyakan ibu bapa enggan mendaftarkan mereka sebagai murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata justeru kesedaran ibu bapa di negara ini masih rendah untuk menghantar anak terbabit ke Sekolah Pendidikan Khas atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif di sekolah kerajaan.

Beliau berkata, tindakan itu menafikan hak anak OKU untuk memperoleh pendidikan sempurna, selain tidak dapat belajar berdikari dan menjalani hidup lebih berkualiti.

“Setakat 31 Januari tahun ini, hanya 14 peratus kanak-kanak OKU didaftarkan sebagai MBK di Sekolah Pendidikan Khas atau PPKI dan Program Pendidikan Inklusif.

“Oleh itu, kita berharap ibu bapa yang ada anak OKU supaya jangan risau, segan dan malu untuk menghantar mereka ke sekolah. Sekurang-kurangnya dapat dididik untuk berdikari dan belajar,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke PPKI dan Program Pendidikan Inklusif di Sekolah Jenis Kebangsaan Bintawa, dekat sini, hari ini.

Nie Ching berkata, bagi melaksanakan Dasar Sifar Penolakan dan menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak terbabit sebagai MBK, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM142 juta bagi elaun khas MBK, tahun ini.

“Setiap anak OKU yang didaftarkan sebagai MBK layak menerima elaun RM150 sebulan. Jika jumlah MBK meningkat, kita akan menambah peruntukan sedia ada.

“Tahun lalu, sebanyak RM100 juta disediakan dan jumlah itu ditambah menjadi RM142 juta tahun ini mengikut peningkatan MBK. Kadar elaun itu di seluruh negara adalah sama, iaitu RM150 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, hingga 31 Januari tahun ini, seramai 83,039 MBK didaftarkan di seluruh negara.

Berita Harian X