Rabu, 3 April 2019 | 1:35pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHas 2019) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

Industri halal perlu teroka, manfaatkan Revolusi Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Industri halal perlu meneroka dan memanfaatkan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) yang berpotensi memberi banyak manfaat kepada perkembangan sektor berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata gabungan teknologi terutama dalam subsektor Internet of Thing (IoT), rantaian blok (blockchain), nanoteknologi, analisis ‘Big Data’ dan teknologi mudah alih mampu mewujudkan kemungkinan baharu bagi industri terbabit.

Beliau memberi contoh, aplikasi telefon mudah alih berkaitan halal banyak membantu pelancong mencari restoran halal, masjid dan arah kiblat, malah berfungsi dalam pemeriksaan silang data pengesanan dan pengesahan sijil halal Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) seperti sistem ‘Halal Verified Engine’ (HVE) dan ‘Verify Halal’.

“Pihak berkuasa halal dan badan pensijilan juga boleh mengeluarkan sijil halal menggunakan teknologi blok rantaian, yang bukan hanya mengeluarkan sijil halal itu sendiri, tetapi juga menyimpan semua rekod pengeluaran dan pengedaran oleh pengeluar halal terbabit,” katanya.

Mujahid berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHas 2019) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Katanya, pertumbuhan industri halal terutama yang didorong oleh permintaan makanan halal, kini telah berkembang dalam sektor rantaian bekalan yang kini diperluaskan kepada sektor kosmetik, barangan pengguna, industri farmaseutikal dan logistik.

Berdasarkan Laporan Ekonomi Negara Islam Global 2018/2019, beliau berkata, seramai 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia telah membelanjakan kira-kira RM8.57 (AS$2.1 trilion) pada 2017 yang membabitkan sektor gaya hidup.

“Oleh itu, acara berprestij ini (GHas 2019) menjadi platform terbaik membolehkan industri halal dibangunkan dan menjadi penyumbang utama ke arah pembangunan satu piawaian global halal untuk memudahkan pengukuhan ekonomi halal global bagi kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Mujahid menjelaskan, GHas 2019 adalah penjenamaan semula program Minggu Halal Dunia, yang menghimpunkan pemikiran dan profesional dalam industri halal dunia dianjurkan sejak 2004, susulan pameran halal pertama diperkenalkan iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Katanya, pameran GHas akan dijadikan acara tahunan yang menjadi acara nasional bermula tahun ini.

Beliau percaya, dengan aliran luar biasa dan menggalakkan dalam industri halal sambil disokong pemikiran dan jaringan positif dalam kalangan agensi kerajaan dan penggiat halal antarabangsa, program itu akan menjadi platform sempurna untuk pemimpin, pakar, pihak berkuasa berkongsi idea, dasar dan penemuan mereka dalam industri halal.

“Saya percaya semua perwakilan akan mendapat manfaat daripada sesi perbincangan, sesi perkongsian pengetahuan, aktiviti padanan rangkaian dan peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan lagi industri halal dunia,” katanya.

Mujahid berkata, tema pameran berkenaan, ‘Halal Menghubungkan Dunia’ sangat relevan untuk menjadikan Malaysia negara paling kuat dan konsisten sebagai hab halal global.

Katanya, pasaran halal global kini telah berkembang di luar sektor makanan apabila turut merangkumi farmaseutikal; kosmetik; produk kesihatan; kelengkapan mandian dan peranti perubatan; perjalanan dan pelancongan serta fesyen.

Selain itu, beliau berkata, pasaran halal juga merangkumi komponen sektor perkhidmatan seperti logistik, pemasaran, media cetak dan elektronik, pembungkusan, penjenamaan dan pembiayaan yang semuanya dianggarkan bernilai RM8.57 trilion (AS$ 2.1 trilion)

Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid berkata, sehingga akhir bulan lalu, sebanyak 10,186 syarikat tempatan dan antarabangsa telah menerima sijil halal Malaysia yang dikeluarkan JAKIM.

“Terkini, JAKIM membuka peluang pensijilan antarabangsa untuk sektor perkilangan dan kilang pengeluaran makanan di luar negara. Malaysia juga telah menubuhkan satu gabungan untuk menubuhkan dan mengawasi proses sijil halal di seluruh dunia.

“Pada masa ini, Malaysia telah mengiktiraf 78 badan pengesahan (halal) asing dari 45 negara. Jaringan dan kolaborasi antara Malaysia dan negara-negara asing telah memberi impak yang besar kepada perkongsian pengetahuan, pertukaran idea dan kerjasama antarabangsa di negara-negara rentas sempadan.

“Kerjasama di antara kerajaan dan agensi-agensi strategik diutamakan bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan industri halal terus berkembang pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X