Selasa, 2 April 2019 | 11:34pm
Presiden AMANAH, Mohamad berucap pada berucap pada majlis ceramah umum di Taman Angsamas, Rantau sempena PRK N.27 DUN Rantau. Turut bersama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim dan Calon PH, Dr S Streram. - Foto Adzlan Sidek

Tak mungkin Dr Mahathir tunduk kepada DAP - Mohamad Sabu

SEREMBAN: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, menafikan dakwaan bahawa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikawal oleh DAP.

Beliau berkata, tidak mungkin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, yang sebelum ini pernah dilabel sebagai ultra-Melayu, akan tunduk kepada desakan DAP, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Setiap dasar yang dilaksanakan dibuat secara bersama merangkumi semua ahli Kabinet. Tuduhan bahawa DAP mengawal kerajaan adalah tidak berasas.

“Semua tahu bahawa saya menyertai PAS selama 38 tahun sebelum menyertai AMANAH. Saya sudah mengadakan kempen di seluruh negara, namun PAS hanya berjaya memenangi Kelantan dan Terengganu.

“Selepas menyertai AMANAH di bawah gabungan Pakatan Harapan, kami berjaya memenangi lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Anwar bersama Presiden AMANAH, Mohamad berbincang ketika menghadiri majlis ceramah umum di Taman Angsamas, Rantau. - Foto Adzlan Sidek
Anwar bersama Presiden AMANAH, Mohamad berbincang ketika menghadiri majlis ceramah umum di Taman Angsamas, Rantau. - Foto Adzlan Sidek

“Dengan Pakatan Harapan kami berjaya mengambil alih pentadbiran negara. Ini menunjukkan sekiranya ingin menjadi kerajaan yang berjaya, kita tidak boleh memainkan isu perkauman dan hanya bergantung kepada satu kaum,” katanya ketika berucap pada ceramah PH di Taman Angsamas, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kini sudah tiba masanya untuk PH menjawab tuduhan dilemparkan oleh UMNO dan PAS yang menyebabkan keraguan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

“Tuduhan dibuat adalah serius, mereka (UMNO dan PAS) membuat pelbagai tuduhan termasuk kerajaan PH tidak mengambil berat terhadap Melayu.

“Sudah tiba masa kita menjawab tuduhan ini dan membuktikan mereka salah,” katanya.

Berita Harian X