Khamis, 28 March 2019 | 11:07pm
Kerajaan tidak ada rancangan untuk menggantikan tanaman kelapa sawit dengan buluh seperti didakwa sesetengah pihak. - Foto hiasan
Kerajaan tidak ada rancangan untuk menggantikan tanaman kelapa sawit dengan buluh seperti didakwa sesetengah pihak. - Foto hiasan

Tiada cadangan ganti kelapa sawit dengan buluh

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak ada rancangan untuk menggantikan tanaman kelapa sawit dengan buluh seperti didakwa sesetengah pihak.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata sebaliknya cadangan penanaman buluh itu hanya untuk menjadikan sumber pendapatan baharu pekebun.

Beliau berkata, cadangan penanaman buluh itu juga adalah antara usaha kerajaan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan pekebun ketika isu penurunan harga komoditi utama kelapa sawit dan getah.

Katanya, kajian mendapati buluh juga mempunyai potensi besar dan pasaran tinggi khususnya selepas diproses menjadi perabot atau produk lain.

“Nilai dagangan produk berasaskan buluh dunia pada tahun lalu mencecah AS$68.8 bilion (RM280.45 bilion) yang didominasi oleh China, India dan Taiwan.

“Bagi negara kita, nilai eksport produk berasaskan buluh ialah RM120,827 yang boleh lagi dimajukan dan memerlukan kreativiti pengusaha,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul junjung kasih atas titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, sebuah anak syarikat yang dikenali sebagai Forest Plantation Development Sdn Bhd juga ditubuhkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk menguruskan pembayaran pinjaman mudah, menjalankan proses pengauditan ladang serta untuk menyediakan sokongan teknikal dan latihan untuk penanaman buluh sejak tahun 2007.

Katanya, lima spesies buluh yang sesuai dikomersialkan iaitu betong, semantan, beting, beti dan buluh hitam.

“Sebanyak 100 kilang berasaskan buluh didirikan kawasan yang banyak sumber buluh di seluruh negara yang memanfaatkan penanam buluh,” katanya.

Berita Harian X