Khamis, 28 March 2019 | 4:34pm
PANGLIMA Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PANGLIMA Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

TUDM peneraju misi kemanusiaan Asia Pasifik

LANGKAWI: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi antara peneraju misi bantuan kemanusiaan dan bencana di rantau Asia Pasifik, hasil keupayaan pesawat Airbus A400M miliknya.

Empat pesawat pengangkut udara taktikal berpangkalan di Pangkalan Udara Subang itu aktif membawa sukarelawan dan bantuan kemanusiaan ke serata kawasan bencana sejak memasuki perkhidmatan pada 9 Mac 2015.

Pegawai Komandan Skuadron 22, Left Kol Yusrizal Zain, berkata enam misi kemanusiaan yang disertainya setakat ini membolehkan pesawat Airbus A400M milik TUDM merakam jam penerbangan paling tinggi dalam kalangan semua pengendali pesawat sama di seluruh dunia.

“Berikutan itu, plak memperingati kejayaan itu diserahkan Presiden Airbus Asia-Pasifik, Jean Marc Nasr kepada Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

“Pesawat ini istimewa kerana memiliki keupayaan terbang lebih jauh dan pantas selain mampu membawa berat bebanan lebih tinggi berbanding pesawat lain,” katanya pada sesi penerangan pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA’19) di sini, hari ini.

Yusrizal berkata, pesawat itu sudah melaksanakan misi kemanusiaan di Marawi, Filipina pada Julai 2017; Chittagong, Bangladesh (Ogos 2017, Januari dan Julai 2018); Vientiane, Laos (July 2018) dan terakhir Palu, Indonesia (Oktober 2018).

“Keistimewaan lain ialah pesawat ini turut mampu melaksanakan aktiviti pengisian bahan api di udara membabitkan pelbagai pesawat TUDM lain seperti F/A-18s, Su-30s dan Hawks,” katanya.

Berita Harian X