Sabtu, 23 March 2019 | 5:18pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melancarkan Food Bank Siswa di UiTM Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melancarkan Food Bank Siswa di UiTM Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

KPDNHEP perkenal Food Bank Siswa

BUKIT MERTAJAM: 1,000 pelajar dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini menjadi kumpulan pertama penerima Food Bank Siswa yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebanyak 800 penerima di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dan 200 penerima di Politeknik Seberang Perai, akan menjadi kelompok awal kepada projek perintis Food Bank Siswa.

“Kita mulakan program ini di Pulau Pinang kerana negeri ini sudah mempunyai sistem yang sangat kondusif, di mana ia turut digerakkan oleh Mutiara Food Bank dan kerajaan negeri.

“Selepas ini, Food Bank Siswa akan digerakkan pula ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada minggu hadapan dan seterusnya diperluaskan ke semua universiti awam di negara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin melancarkan Food Bank Siswa di UiTM Pulau Pinang, dengan Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PPRIM) menjadi penyumbang utama bagi bantuan makanan di Food Bank universiti itu.

Turut hadir, EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kementerian tidak akan mengehadkan jumlah penerima Food Bank Siswa, sebaliknya ia bergantung kepada senarai yang dibuat pihak universiti.

Katanya, hanya pihak IPTA saja yang dapat mengenalpasti penerima yang benar-benar layak, iaitu pelajar yang berasal daripada keluarga B40.

“Kita tidak meletakkan jumlah penerima, sebaliknya ia bergantung kepada senarai yang pihak universiti keluarkan dan serah kepada kita,” katanya.

Minggu lalu, BH melaporkan sejumlah pelajar universiti awam daripada kumpulan B40 dan miskin tegar hanya makan sekali sehari kerana kesempitan wang.

Sementara itu, penerima Food Bank Siswa, Nur Atiqah Nor Afendi, 19, mengakui biskut kering menjadi menu utamanya untuk mengisi perut, selain minuman coklat kosong bagi menjimatkan belanja kerana kekangan kewangan.

“Saya dan kakak saya kini sedang melanjutkan pengajian di universiti, tiga orang lagi adik saya sedang belajar di sekolah rendah.

“Saya tahu ibu bapa saya tidak ada wang yang mencukupi. Jadi, saya memilih untuk berjimat dan mengikat perut dengan hanya menjadikan biskut kering sebagai menu utama harian.

“Saya rasa bersyukur kerana tersenarai dalam penerima bantuan Food Bank kerana selama dua tahun belajar di sini, saya tidak pernah mendapat apa-apa bantuan sebelum ini,” kata pelajar Fakulti Hotel dan Pelancongan (Kulinari) UiTM Pulau Pinang itu.

Bagi pelajar Fakulti Hotel dan Pelancongan (Pastri) UiTM Pulau Pinang, Aiman Nur Hazim Adnan, 19, dari Selangor, berkata beliau rasa lega dan gembira kerana diberi bantuan makanan Food Bank.

Anak kedua daripada tiga adik beradik itu mengakui terpaksa berhutang dengan rakan untuk membeli nasi dan makanan harian kerana wang saku tidak mencukupi.

“Kadangkala saya terpaksa tebalkan muka untuk meminjam wang daripada rakan kerana tiada wang. Alhamdulillah, ramai rakan saya yang membantu dan faham keadaan saya,” katanya.

Berita Harian X