Khamis, 21 March 2019 | 6:43pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin ketika hadir Persidangan Hijau anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Intercontinental Hotel. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin ketika hadir Persidangan Hijau anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Intercontinental Hotel. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Tender projek hijau RM3.2 bilion akan dibuka tahun ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan membuka tender bagi kontrak projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kecekapan tenaga (EE) bernilai sekurang-kurangnya RM3.2 bilion pada tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata antara projek itu adalah ubah suai 50 bangunan milik kerajaan dengan teknologi EE.

“Projek perintis ini bernilai kira-kira RM200 juta dan adalah tender terbuka untuk syarikat penjimatan tenaga,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan mengenai usaha penghijauan Malaysia pada Persidangan Hijau anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di sini, hari ini.

Bee Yin berkata tender lain termasuk projek di bawah skim 3 solar skala besar (LSS) bernilai RM2 bilion dan penggunaan mekanisme Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang akan dapat memacu pelaburan dan peluang bernilai kira-kira RM1 bilion dalam industri RE.

“Bagaimanapun, NEM (tender) tidak termasuk tarif galakan projek RE,” katanya.

Beliau berkata MESTECC sudah melantik Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menubuhkan pasukan petugas khas pembiayaan hijau untuk mengkaji, menilai, mengemukakan cadangan dan pelan tindakan bagi inisiatif RE dan EE.

“SC akan menyerahkan laporan kepada kami pada akhir Julai depan dan berharap untuk mendapatkan cadangannya dimasukkan dalam bajet tahun depan.

“Menerusi ini, kami berharap untuk melihat bagaimana kami dapat memberikan lebih banyak insentif bagi pembiayaan hijau swasta menerusi peraturan atau mobilasi dana kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Bee Yin mencadangkan dana yang diperuntukkan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri ditingkatkan kepada lebih 50 peratus daripada 8.9 peratus sekarang untuk meningkatkan ekonomi negara.

Katanya, dana R&D kerajaan bernilai RM500 juta dikongsi beberapa kementerian termasuk Pendidikan Tinggi, Industri Utama, Pertanian dan Industri Asas Tani dan MESTECC.

“Sekiranya kita tidak memperuntukkan dana secara strategik (dana R&D) maka ia tidak akan membuahkan hasil.

“Kami melihat ada jurang antara keperluan ekonomi dan apa yang sedang dilakukan penyelidik. Ini dapat diubah dengan cepat dengan mengadakan kluster yang menghubungkan industri kita dengan penyelidik dan menyalurkan dana (penyelidikan) ke arah penyelidikan dan kerjasama perindustrian yang dipacu pasaran, ” katanya.

Ketika ini, katanya, hanya 12 peratus daripada semua penyelidik di negara ini adalah sebahagian daripada sektor perindustrian masing-masing, manakala bakinya menjalankan penyelidikan asas di institusi akademik dan universiti.

“Di negara maju, lebih banyak wang dibelanjakan untuk penyelidikan industri, contohnya, Singapura membelanjakan 48 peratus dan Jepun 64 peratus (dana R&D mereka)” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X