Khamis, 21 March 2019 | 6:38pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa kebimbangan dengan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa kebimbangan dengan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Fenomena cuaca panas: Agong nasihat rakyat jaga kesihatan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa kebimbangan dengan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Justeru, baginda menasihatkan rakyat terutama kanak-kanak dan warga tua supaya sentiasa dipantau kerana mudah terkesan dengan peningkatan suhu cuaca.

“Peningkatan suhu akibat kombinasi faktor termasuk kekurangan awan dan kadar hujan yang rendah di penghujung monsun timur laut menyebabkan keadaan kering di negara ini.

“Seri Paduka menasihatkan rakyat Malaysia supaya berwaspada dan berhati-hati dengan cuaca panas yang melanda negara,” kata kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, di sini, hari ini.

Baginda turut melarang sebarang kegiatan pembakaran terbuka selain berharap rakyat akan menjaga diri masing-masing serta insan tersayang sepanjang fenomena ini.

BH sebelum ini melaporkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata cuaca panas ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

Berita Harian X