Selasa, 19 March 2019 | 1:36pm
Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor dan Mudir Darul Ulum Az Zahra, Mohd Dailami Che Age. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor dan Mudir Darul Ulum Az Zahra, Mohd Dailami Che Age. - Foto Khairul Azhar Ahmad

PINTA sedia bantu institusi tahfiz di Selangor berdaftar

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) bersedia membantu institusi tahfiz di Selangor terutama yang berdepan masalah berkaitan pendaftaran.

Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor dan Mudir Darul Ulum Az Zahra, Mohd Dailami Che Age, berkata pihaknya menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana melambangkan keprihatinan baginda dalam perkara berkaitan pendidikan agama dan tahfiz di negeri itu.

Mohd Dailami berkata, PINTA komited untuk memastikan institusi tahfiz didaftarkan walaupun terdapat beberapa kekangan disebabkan ada syarat yang masih belum dipenuhi.

“Saya percaya bimbingan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengambil berat isu ini, semua institusi tahfiz yang belum berdaftar akan berjaya mendapat kelulusan.

“Semua ahli PINTA juga komited untuk mendaftarkan institusi masing-masing, sekali gus tiada mana-mana ahli di bawah PINTA enggan atau ingkar membuat pendaftaran bersama JAIS.

“Masih ada ruang dan kelemahan yang boleh dibaiki daripada sudut teknikal yang memerlukan masa untuk diatasi seperti prasarana dan kelengkapan asas bangunan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap titah Sultan Selangor yang menitahkan semua sekolah tahfiz swasta tidak berdaftar dengan JAIS ditutup dan ditamatkan perkhidmatannya ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam.

Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor dan Mudir Darul Ulum Az Zahra, Mohd Dailami Che Age. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor dan Mudir Darul Ulum Az Zahra, Mohd Dailami Che Age. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Mohd Dalami berkata, PINTA yang mewakili majoriti institusi tahfiz di negara ini bersedia membantu bagi tujuan menambah baik kurikulum institusi tahfiz sedia ada.

“PINTA sedang merangka dan membincangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada isu akademik moden di pusat pengajian institusi tahfiz dengan merangka silibus subjek wajib akademik bagi pelajar tahfiz.

“Pelbagai usaha dibuat untuk membantu lepasan tahfiz mengikuti pengajian sistem arus perdana antaranya menyediakan laluan pelepasan segera Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikendalikan sendiri oleh PINTA,” katanya.

Mohd Dailami berkata, PINTA turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK) di bawah program Al Asasi UNIRAZAK untuk membuka laluan pelajar tahfiz ke program diploma dan ijazah peringkat pendidikan tinggi.

“Selain itu, usaha sama turut dibuat bersama institusi pengajian tinggi lain termasuk program Plus Tahfiz Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui kerjasama dengan UiTM.

Berita Harian X