Selasa, 19 March 2019 | 12:00pm

Pendedahan BH dapat perhatian menteri

KUALA LUMPUR: Pendedahan BH mengenai nasib pelajar Universiti Malaya (UM) terpaksa menahan lapar kerana kesempitan kewangan, mendapat perhatian Kabinet yang mahu bantuan segera dihulur kepada mahasiswa memerlukan di semua universiti awam (UA).

Serentak itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM3 juta kepada program Food Bank Malaysia untuk diperluaskan ke kampus UA, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertanggungjawab mengendalikan program mengedar bekalan makanan kepada golongan sasaran.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata laporan isu mahasiswa ‘ikat perut’ oleh akhbar ini sejak Ahad lalu, mendapat perhatian Jemaah Menteri dan beliau sendiri berhubung dengan 20 timbalan naib canselor UA yang bersetuju mengadakan program Food Bank Malaysia di kampus masing-masing dengan segera.

“Isu mahasiswa lapar ini secara peribadi amat dekat di hati saya dan saya akan berikan sepenuh masa untuk selesaikan isu kepayahan mahasiswa ini secepat mungkin,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di sini semalam.

BH pada Ahad lalu mendedahkan sebilangan pelajar UM terpaksa mencatu wang saku diberi keluarga, berjimat cermat, mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kesempitan kewangan.

Saifuddin berkata, operasi Food Bank Malaysia di kampus akan dikendalikan sendiri oleh mahasiswa dengan sokongan KPDNHEP dan rakan strategik kementerian dari kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen dan Mutiara Foodbank.

Kementerian juga, katanya, menjadi penghubung serta pemudahcara dalam mendapatkan komitmen dari pasar raya di seluruh negara untuk menyumbang lebihan makanan yang masih selamat dimakan bagi tujuan pengagihan oleh rakan strategik berkenaan.


Guan Eng bersama Saifuddin (kiri) menunjukkan gambar program Food Bank Malaysia pada sidang media di Putrajaya, semalam. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

“Sejak Food Bank Malaysia dilancar secara rasmi 22 Disember lalu, kementerian berjaya mendapatkan komitmen 430 pasar raya untuk menyumbang lebihan makanan yang masih selamat dimakan,” katanya sambil menambah, program itu dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 26 Februari lalu dan di UM pada 7 Mac.

Beliau berkata, pihak universiti dan persatuan mahasiswa yang ditemuinya baru-baru ini, turut menyatakan komitmen memberi sokongan penuh kepada program berkenaan seperti menyediakan kemudahan logistik di kampus masing-masing.

“Sebahagian universiti ada sekolah pengurusan hotel, jadi mereka ada dapur dan memudahkan barang (mentah) yang dikumpul dari pasar raya dimasak. Persatuan mahasiswa juga memberikan komitmen akan menyediakan sukarelawan untuk tugas pengagihan dan memasak,” katanya.

Mengenai kaedah mengenal pasti mahasiswa yang memerlukan bantuan, Saifuddin berkata, pihak universiti akan menyediakan senarai lengkap pelajar daripada keluarga B40.

“Ada sebuah universiti di Pantai Timur melaporkan mereka ada 1,700 pelajar dari keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah. Malah, berdasarkan laporan yang saya terima, secara purata hampir 50 peratus pelajar di UA hari ini datang dari keluarga B40,” katanya.

Katanya, KPDNHEP juga dalam proses merangka rang undang-undang mengenai pelaksanaan bank makanan di Malaysia untuk dibentangkan di Parlimen, dijangka pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata, Food Bank Malaysia adalah inisiatif awam-swasta untuk memperluas capaian bank makanan yang ditubuhkan NGO dan pihak swasta bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada pihak yang memerlukan dengan sebaik-baiknya.

Anwar minta 3 negeri segerakan agih dana khas

Kementerian Kewangan merangka peruntukan khusus bagi membantu menyelesaikan isu mahasiswa universiti awam (UA) yang terpaksa ‘mengikat perut’ dalam mengawal perbelanjaan, khususnya di Universiti Malaya (UM).


Anwar pada sidang Dewan Rakyat, Parlimen, semalam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan itu dimaklumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika mereka membincangkan isu mahasiswa daripada golongan B40 di UM seperti dilaporkan BH, kelmarin.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, tiga kerajaan negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut diminta menyegerakan peruntukan khas kepada mahasiswa kurang bernasib baik di negeri masing-masing.

“Saya menyuarakan isu ini di Dewan Rakyat kerana ia isu besar. Saya juga bercakap dengan tiga Menteri Besar untuk menyegerakan peruntukan khas.

“Tak perlu banyak pun peruntukan itu, kalau bagi RM100 sebulan pun boleh menampung kekurangan dialami ketika ini.

“Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sudah bertindak, saya percaya negeri lain bakal menyusul.

“Menteri Kewangan merangka peruntukan lebih besar, tapi proses itu tentunya akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

BH Ahad dalam laporan muka depan mendedahkan sebilangan pelajar universiti itu terpaksa ‘mengikat perut’ dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

UM turut mengenal pasti 1,000 mahasiswanya tergolong dalam kategori miskin tegar dinamakan BL40 yang ditakrif universiti itu, iaitu isi rumah berpendapatan RM1,000 ke bawah sebulan.

Susulan pendedahan BH, Anwar dilaporkan meminta kakitangannya mendapatkan maklumat segera daripada pihak pentadbiran dan persatuan pelajar UM berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, Anwar ketika membahaskan titah diraja, menegaskan masalah dihadapi mahasiswa itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu ditangani segera.

“Mesti ada langkah segera, seperti masalah dihadapi nelayan kini membebani mahasiswa, maka jangan ditangguh sehingga dua minggu (untuk beri bantuan).

“Kita bukan di Somalia atau Sudan. Ini Malaysia. Kalau dengar masalah, kena ambil tindakan segera. Universiti perlu ambil tindakan, kementerian juga perlu ambil tindakan untuk selesaikan masalah ini.

“Saya tidak fikir sesiapa di negara ini boleh terima kenyataan apabila ada mahasiswa hadapi masalah makanan dan dibiarkan berlarutan beberapa minggu,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berterima kasih kepada Guan Eng atas kesediaan menyediakan peruntukan dalam bajet tambahan untuk mengurangkan beban dan tekanan rakyat, termasuk pelajar kekurangan makan.


Sukarelawan menyusun makanan di UM Campus Food Bank, Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

UM hargai usaha BH dedah isu

Universiti Malaya (UM) menghargai usaha BH mendedahkan isu kebajikan pelajarnya, mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) memastikan tiada keciciran dalam proses agihan bantuan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi korporat dan individu itu bagi memastikan UM mampu membantu pelajar B40 di universiti berkenaan.

Beliau juga meminta semua pihak yang mahu menyalurkan bantuan serta pelajar dari kumpulan sasaran berhubung dengan BHEPA.

“Pelajar yang memerlukan bantuan boleh berhubung dengan BHEPA bagi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya dalam aspek kebajikan di kampus. Selain pemakanan, kita akan pastikan pelajar mempunyai akses kepada diet seimbang untuk kehidupan yang lebih baik sepanjang menuntut di kampus ini,” katanya kepada BH, semalam.

Abdul Rahim berkata, pihak universiti memandang serius isu berkenaan kerana makanan adalah keperluan asas pelajar untuk meneruskan aktiviti kampus dan kekal cergas dalam meneruskan pengajian kerana mereka adalah harapan untuk mengubah nasib keluarga pada masa hadapan.

Mengenai usaha UM sendiri, beliau berkata, pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk membantu mahasiswa B40 telah diperkenalkan di kampus UM seperti zakat, derma siswa, elaun sara hidup, bantuan wang tunai untuk kecemasan, kupon makanan, ‘food bank’, ‘central kitchen’ dan edaran makanan.

“Bantuan ini diurus selia oleh BHEPA, fakulti serta pertubuhan pelajar bagi memastikan pelajar B40 juga mempunyai akses kepada makanan yang berkhasiat. Daripada 7,500 pelajar B40 di UM, 1,000 dikenal pasti dari keluarga berpendapatan kurang RM1,000,” katanya.


Pelajar UniMAP daripada keluarga berpendapatan rendah bakal menerima bantuan makanan sepanjang minggu peperiksaan nanti. - Ihsan UNIMAP

UniMAP sedia makanan percuma untuk pelajar B40

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyediakan makanan percuma untuk pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan asnaf miskin sepanjang minggu peperiksaan bermula 27 Mei ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata ia bagi memastikan penuntut universiti itu mendapat makanan mencukupi sepanjang tempoh ulang kaji dan peperiksaan.

Katanya, inisiatif terbabit akan dimulakan pada semester ini, membabitkan 550 penuntut dengan masing-masing diberikan kupon makanan bernilai RM5 seorang setiap sehari.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, ada dalam kalangan pelajar ini sanggup berkorban dan menggunakan wang pinjaman atau zakat yang diperoleh untuk dikirimkan kepada keluarga di kampung.

“Biasanya, musim peperiksaan adalah pada penghujung semester dan ketika ini sebahagian besar pelajar sudah kekurangan wang. Justeru inisiatif yang diambil ini diharap dapat membantu pelajar B40 dan asnaf kekal bertenaga menghadapi peperiksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Zul Azhar berkata, bagi mengatasi masalah penuntut mengikat perut sepanjang semester, UniMAP turut menyediakan peluang menjana pendapatan kepada mereka menerusi bantuan keusahawanan bagi membimbing mahasiswa menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Kita turut menyediakan ‘Food-cart Asnaf’ dan kios keusahawanan khusus untuk pelajar yang ingin menjalankan perniagaan makanan dan minuman selain turut menawarkan skim dedikasi diri yang menawarkan peluang kerja separuh masa.

“Menerusi skim ini, pelajar dibenar melakukan kerja sampingan di mana-mana pusat atau jabatan di UniMAP untuk tempoh tidak melebihi lima jam sehari. Biasanya, kerja yang ditawarkan adalah berdasarkan kemahiran yang dimiliki pelajar seperti terjemahan, suntingan video, penyediaan ‘slide’ dan tugasan pejabat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, mulai semester hadapan pada 2019 dan 2020, UniMAP bakal menyediakan skim penginapan percuma kepada 10 asnaf terpilih setiap tahun.

Berita Harian X