Selasa, 19 March 2019 | 1:54am
PASUKAN perubatan Indonesia membawa jasad rakyat Malaysia, Datin Tai Siew Kim yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok. - Foto EPA
PASUKAN perubatan Indonesia membawa jasad rakyat Malaysia, Datin Tai Siew Kim yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok. - Foto EPA

Jasad 2 mangsa gempa bumi Lombok dibawa pulang hari ini

JAKARTA: Jasad dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tanah runtuh di Lombok kelmarin, dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.10 petang hari ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam kenyataan malam tadi berkata, mendiang Datin Tai Siew Kim dan mendiang Lim Sai Wah akan dibawa pulang ke Malaysia dengan menggunakan penerbangan Garuda Indonesia, GA816.

Katanya, selain itu, 17 mangsa lain akan turut pulang ke tanah air esok dengan menaiki pesawat Air Asia dengan nombor penerbangan AK309 terus dari Lombok dan dijangka tiba di KLIA2 pada jam 3.15 petang.

Bagaimanapun, empat lagi warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Mataram.

Kenyataan itu menyebut pegawai Kedutaan Malaysia di Lombok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran urusan membawa pulang jenazah serta warga Malaysia yang terjejas. - BERNAMA

Berita Harian X