Isnin, 18 March 2019 | 2:07pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Peruntukan khas tangani isu mahasiswa lapar'

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan merangka peruntukan khusus bagi membantu menyelesaikan isu mahasiswa universiti awam (UA) yang terpaksa ‘mengikat perut’ dalam mengawal perbelanjaan, khususnya di Universiti Malaya (UM).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika mereka membincangkan isu mahasiswa daripada golongan B40 di UM seperti dilaporkan BH, semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, tiga kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut diminta menyegerakan peruntukan khas kepada mahasiswa kurang bernasib baik di negeri masing-masing.

“Saya menyuarakan isu ini di Dewan Rakyat kerana ia isu yang besar. Saya juga sudah bercakap dengan tiga Menteri Besar untuk menyegerakan peruntukan khas.

“Tak perlu banyak pun peruntukan itu, kalau bagi RM100 sebulan pun sudah boleh menampung kekurangan dialami ketika ini.

“Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sudah bertindak, saya percaya negeri lain bakal menyusul.

“Menteri Kewangan merangka peruntukan lebih besar, tapi proses itu tentunya akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

BH Ahad dalam laporan muka depan semalam, mendedahkan sebilangan pelajar universiti itu terpaksa ‘mengikat perut’ dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

UM turut mengenal pasti kira-kira 1,000 mahasiswanya tergolong dalam kategori miskin tegar dinamakan BL40 yang ditakrif universiti itu, iaitu isi rumah berpendapatan RM1,000 ke bawah sebulan.

Susulan pendedahan BH, Anwar dilaporkan meminta kakitangannya mendapatkan maklumat segera daripada pihak pentadbiran dan persatuan pelajar UM berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, Anwar ketika membahaskan titah diraja, menegaskan masalah dihadapi mahasiswa itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu ditangani segera.

“Mesti ada langkah segera, seperti masalah yang dihadapi nelayan kini sudah membebani mahasiswa, maka jangan ditangguh sehingga dua minggu (untuk beri bantuan).

“Kita bukan di Somalia atau Sudan. Ini Malaysia. Kalau dengar masalah, kena ambil tindakan segera. Universiti perlu ambil tindakan, kementerian juga perlu ambil tindakan untuk selesaikan masalah ini.

“Saya tidak fikir sesiapa di negara ini boleh terima kenyataan apabila ada mahasiswa hadapi masalah makanan dan dibiarkan berlarutan beberapa minggu ,” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berterima kasih kepada Guan Eng atas kesediaan menyediakan peruntukan dalam bajet tambahan untuk mengurangkan beban dan tekanan rakyat, termasuk pelajar kekurangan makan.

Berita Harian X