Jumaat, 15 March 2019 | 3:14pm
MOHAMAD Fuzi menyaksikan Noor Rashid (kiri) membuat pertukaran dokumen serah tugas kepada Abdul Hamid Bador (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL). - Foto Hafiz Sohaimi

Hamid Bador dilantik pemangku Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini.

Perlantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, yang akan bersara wajib, Ahad ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi, berkata pihaknya yakin Abdul Hamid mampu memikul amanah yang diberikan dengan cemerlang dan dapat memacu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharungi apa juga cabaran pada masa akan datang.

“Saya yakin sahabat lama ini akan meneruskan legasi kerana kita bekerja bukan kepentingan diri tetapi demi menjaga amanah diberi.

“Bagi pihak pasukan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri (Noor Rashid) yang menaburkan khidmat bakti serta kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada PDRM.

“Noor Rashid ibarat sebutir bintang yang begitu bersinar dalam pasukan apabila beliau diberi kepercayaan menyandang pelbagai jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN), Pesuruhjaya Polis Sabah dan sebagainya sebelum mengakhiri khidmat baktinya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam majlis sama, Fuzi turut menyaksikan penyerahan dokumen Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) antara Puan Sri Shahriza Saad@Mansor kepada Datin Seri Nor Azrin Marzuki.

Menurut Fuzi, pihaknya berterima kasih kepada Shahriza yang menerajui kepemimpinan PERKEP dengan cemerlang.

“Beliau juga memangku jawatan Pengerusi PERKEP Malaysia selepas arwah isteri saya yang tercinta meninggal dunia pada 15 Disember 2016.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Puan Sri (Shahriza) akan terus kekal dalam lipatan sejarah PERKEP Malaysia,” katanya.

Berita Harian X