Rabu, 13 March 2019 | 12:11pm
ONG Kian Ming
ONG Kian Ming

Aduan WTO, tunda Dialog ASEAN-EU antara usaha perjuangkan sawit

KUALA LUMPUR: Aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan gesaan supaya mengkaji semula hubungan negara ASEAN dengan Kesatuan Eropah (EU) adalah antara tindakan drastik yang akan diambil jika EU terus melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, berkata selaku negara anggota WTO, Malaysia mempunyai pilihan untuk membawa isu diskriminasi terhadap minyak sawit ke peringkat badan penyelesaian pertikaian pertubuhan dunia itu.

“Bagaimanapun, ini hanya dapat dilakukan setelah kaedah pelaksanaan dan peraturan terbaru berkenaan (isu) diterbitkan dengan lebih jelas oleh pihak EU bagi membolehkan negara WTO yang terjejas, menilai dengan lebih teliti aspek yang bercanggah dengan peraturan WTO.

“Malaysia dan Indonesia juga telah mendapatkan kerjasama anggota ASEAN bagi menggesa supaya peringkat hubungan ASEAN dan EU ditangguhkan daripada status rakan dialog kepada perkongsian strategik sehingga isu larangan minyak sawit ini diselesaikan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan pertanyaan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli), yang bertanyakan mengenai langkah terbaru kerajaan menangani isu diskriminasi EU terhadap minyak sawit.

Mustapa yang bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilaporkan pernah berkata bahawa tindakan EU mengecualikan minyak sawit daripada campuran bahan api bio dan tenaga boleh baharu menjelang 2021 sebagai berpotensi untuk pelanggaran peraturan WTO.

Kian Ming berkata, selain meneliti aspek yang bercanggah dengan peraturan WTO, inisiatif lain yang telah dilakukan oleh kerajaan di peringkat WTO ialah mewujudkan gabungan yang dikenali sebagai Rakan Minyak Sawit (FPO) di Geneva, Switzerland bermula April 2017.

“Gabungan FPO terdiri daripada perwakilan negara pengeluar utama minyak sawit di WTO, termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Colombia, Guatemala, Ecuador, Costa Rica dan Honduras.

“Antara tindakan yang diambil oleh ahli WTO ialah menyuarakan bantahan secara bersama dipelbagai mesyuarat jawatankuasa WTO. FPO juga menganjurkan sesi khas ketika forum awam WTO pada 26 September 2017 dalam usaha memperbetul persepsi negatif terhadap minyak sawit berdasarkan bukti fakta dan saintifik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mengemukakan bantahan rasmi berkenaan isu sawit pada pelbagai mesyuarat peringkat jawatankuasa dan majlis, seperti mesyuarat majlis jawatankuasa teknikal halangan untuk berdagang (TBT), majlis bagi perdagangan barangan dan mesyuarat jawatankuasa perdagangan dan alam sekitar, dalam usaha memberi tekanan kepada EU agar mempertimbang semula cadangan pelaksanaan peraturan yang mendiskriminasikan minyak sawit. - BERNAMA

Berita Harian X