Selasa, 12 March 2019 | 11:43pm
ISNARAISSAH (kanan) bersama Ketua Pegawai Strategi TNB Research, Ir. Dr. Mohd Fadzil Mohd Siam (kiri) melawat pameran sempena Hari Terbuka TNB Research 2019 di TNB Research Sdn Bhd (TNBR), Kajang. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
ISNARAISSAH (kanan) bersama Ketua Pegawai Strategi TNB Research, Ir. Dr. Mohd Fadzil Mohd Siam (kiri) melawat pameran sempena Hari Terbuka TNB Research 2019 di TNB Research Sdn Bhd (TNBR), Kajang. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

MESTECC hantar 100 penyelidik kepada industri

KAJANG: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan menghantar 100 penyelidik kementerian itu kepada pihak industri, tahun ini untuk memperkasakan perkongsian pintar yang menepati kehendak industri di negara ini.

Timbalan Menteri, Isnaraissah Munirah Majilis, berkata langkah itu untuk mengoptimumkan sumber sedia ada, di samping menyahut saranan perbelanjaan berhemah dilaksanakan kerajaan.

Katanya, usaha yang dijalankan secara perkongsian bestari itu secara tidak langsung meningkatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun katanya, gaji penyelidik terbabit akan dibayar kerajaan walaupun berkerja dengan pihak industri.

“Kementerian juga sentiasa menggalakkan penjawat awam supaya sentiasa menguasai kemahiran dan teknologi terkini untuk memastikan mereka kekal relevan dengan peredaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Tenaga Nasional Berhad (TNB) Research di Auditorium Ilmiah, TNB Research, di sini, hari ini.

Isnaraissah Munirah berkata, sejak penubuhannya pada 1993, TNB Research sebagai anak syarikat milik penuh TNB telah menyumbang kepada pengukuhan operasi TNB melalui pelbagai aktiviti penyelidikan seterusnya berperanan mengkomersilkan produk kajian dan perkhidmatan berinovatif dan berimpak tinggi.

Katanya, tenaga pakar dalam kalangan warga TNB Research juga sering mendapat pengiktirafan sebagai penceramah di pelbagai persidangan peringkat antarabangsa, antaranya negara maju seperti Jepun dan Jerman.

“Sebagai wakil kerajaan dan (MESTECC) khasnya, saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada industri tenaga, malah ia boleh dijadikan contoh terbaik kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat lain.

“Usaha TNB ini adalah sejajar dengan usaha kementerian sendiri ke arah keupayaan inovasi negara di samping meningkatkan kadar pengkomersilan aktiviti penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi TNBR, Ir Dr Mohd Fadzil Mohd Siam, berkata syarikat utiliti itu membelanjakan sebanyak RM120 juta untuk penyelidikan dan pembangunan, sepanjang tahun lalu.

“Kami memperoleh pulangan enam kali ganda daripada pelaburan berkenaan khususnya dalam bentuk penghasilan produk baharu, sistem terkini dan mengoptimumkan proses dan kecekapan,” katanya.

Berita Harian X