Selasa, 12 March 2019 | 4:06pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto BERNAMA
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto BERNAMA

Caj 20 sen beg plastik tampung sebahagian kos peruncit - Khalid

KUALA LUMPUR: Caj 20 sen dikenakan terhadap pengguna di Wilayah Persekutuan bagi setiap beg plastik biodegradasi adalah untuk menampung sebahagian kos pengeluaran ditanggung peruncit dan peniaga.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pelaksanaan dasar selaras Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 itu akan mula berkuat kuasa mengikut perancangan asal, iaitu 15 Mac ini.

Mulai Jumaat ini, katanya, semua peniaga dan peruncit dibenar mengenakan caj 20 sen ke atas beg plastik biodegradasi yang dibekalkan kepada pembeli.

“Caj yang dikenakan kepada pengguna adalah untuk menampung sebahagian kos pengeluaran beg plastik biodegradasi berkenaan yang selama ini ditanggung oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Khalid dilaporkan berkata, ‘caj pencemaran’ sebanyak 20 sen akan mula dikenakan terhadap pengguna bagi memberi kesedaran dan perubahan minda dalam kalangan rakyat mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan membersihkan pencemaran sisa plastik.

Selain itu, katanya, ia berupaya memupuk kesedaran mengenai inisiatif hijau dan menjamin kelestarian alam sekitar kerana maklum balas daripada peniaga serta penjaja mendapati usaha mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan berjaya selagi ia masih disediakan kepada pengguna secara percuma.

Khalid ketika mengemukakan penjelasan lanjut berhubung pengumuman itu, berkata orang ramai mempunyai pilihan untuk tidak dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik biodegradasi yang diperlukan ketika membeli-belah, iaitu dengan membawa beg sendiri.

Pengumuman berkenaan bagaimanapun mengundang persoalan dalam kalangan peruncit dan peniaga mengenai perincian mekanisme ‘caj pencemaran’ yang ingin diperluaskan ke Wilayah Persekutuan selepas pendekatan sama dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang.

Antara rungutan yang dikemukakan ialah sama ada kutipan 20 sen daripada pengguna perlu disalurkan sepenuhnya atau mengikut peratusan tertentu kepada tabung peruntukan khas bagi menyokong pelaksanaan kempen alam sekitar, pembersihan sisa pencemaran plastik dan aktiviti berkaitan.

Berdasarkan rekod rasmi, kerajaan Selangor mula mengenakan caj 20 sen ke atas beg plastik mulai 1 Januari 2017 dan jumlah kutipan mencecah RM1.87 juta dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh pelaksanaannya.

Pulau Pinang pula memulakan dasar sama pada 1 Julai 2009, dengan mengenakan caj terhadap beg plastik pada setiap Isnin, selain melaksanakan larangan kekal ke atas penggunaan bekas makanan polisterina.

Pentadbiran negeri itu kemudian memperluaskan larangan terbabit kepada tiga hari, iaitu Isnin hingga Rabu mulai 2010, manakala larangan penuh terhadap beg plastik percuma dilaksanakan mulai 2011.

Berita Harian X