Ahad, 10 March 2019 | 10:04am
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Caj guna beg plastik di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac

KUALA LUMPUR: Caj pencemaran sebanyak 20 sen akan dikenakan untuk penggunaan beg plastik biodegradasi di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata langkah itu bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai perbelanjaan kerajaan membersihkan pencemaran sisa plastik selaras Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

Katanya, langkah itu juga berupaya memupuk kesedaran mengenai inisiatif hijau dan menjamin kelestarian alam sekitar.

“Maklum balas daripada peniaga dan penjaja mendapati usaha mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan berjaya selagi ia masih disediakan kepada pengguna secara percuma.

“Bagaimanapun, sejak penggunaan produk biodegradasi (mampu terurai secara semula jadi) di Wilayah Persekutuan diperkenalkan, peniaga dan penjaja memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau ini.

“Kementerian berharap semua warga mengambil positif dan dapat berganding bahu menjayakan inisiatif pembangunan teknologi hijau di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 17 Oktober tahun lalu , Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, mengumumkan semua kerajaan negeri diberi tempoh tiga tahun dari 2019 hingga 2021 untuk menguatkuasakan caj pencemaran.

Bee Yin berkata, kerajaan negeri turut diberi kuasa untuk menentukan sendiri nilai caj pencemaran yang mahu dikenakan dan tarikh pelaksanaannya.

Seiring pengumuman itu, Khalid berkata tindakan penguatkuasaan akan diteruskan terhadap peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional untuk pelbagai tujuan.

“Membawa beg sendiri ketika membeli-belah amat digalakkan dan lebih memudahkan, selain menggunakan bekas dari rumah sekiranya ingin membungkus makanan.

“Larangan penggunaan straw plastik masih diteruskan, manakala langkah penguatkuasaan akan mula dilaksanakan pada Januari 2020,” katanya.

Berita Harian X