Sabtu, 9 March 2019 | 11:54pm
KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim

Ambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram LGBT

KUALA LUMPUR: Tindakan penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhimpunan secara haram dan berarak di ibu negara, mencemarkan imej sambutan Hari Wanita Antarabangsa diraikan di seluruh negara hari ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, menegaskan tindakan penyokong LGBT membawa bendera warna pelangi yang menjadi lambang kepada golongan terbabit sambil membawa sepanduk dan kain pemidang yang menuntut hak mereka juga dikhuatiri akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial yang lebih besar terhadap masyarakat di negara ini.

“Justeru, Wanita UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak tunduk dengan apa saja desakan kumpulan LGBT ini.

“Golongan LGBT mempunyai hak seperti rakyat Malaysia yang lain tetapi hak kerajaan PH ialah menghalang mereka dari melakukan aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata sekiranya golongan LGBT diiktiraf dan bebas melakukan apa saja aktiviti mereka, maka golongan itu akan merasakan mereka benar dan dilindungi undang-undang.

Beliau berkata, Wanita UMNO juga melahirkan kebimbangan bahawa tindakan seumpama itu bakal menyebabkan budaya songsang berkenaan semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa depan.

“Pada masa yang sama, golongan LGBT perlu faham kenapa majoriti rakyat di Malaysia menolak mereka kerana gaya hidup songsang yang diamalkan golongan ini bertentangan dengan norma masyarakat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan bermula berhampiran kompleks beli-belah Sogo sebelum kumpulan berkenaan berarak ke Masjid Jamek.

Difahamkan, ia disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) dan aktivis serta pelajar.

Perhimpunan juga didakwa disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.

Antara perkara yang dituntut kumpulan terbabit pada perhimpunan itu adalah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Berita Harian X