Khamis, 7 March 2019 | 3:58pm
Mohamed Azmin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di Pejabat FAMA, Tunjung, Kelantan. - NSTP/Fathil Asri

Kerajaan pertimbang cadangan ANAK - Mohamed Azmin

KOTA BHARU: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) berhubung saranan supaya FELDA mengambil semula pajakan aset tanah seluas lebih 350,00 hektar daripada FGV Holdings Berhad (FGV).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun berkata pihaknya perlu melihat dan meneliti semua aspek pajakan berkenaan terlebih dulu.

Katanya, banyak perkara perlu diteliti termasuk kos pengambilalihan dan adakah perjanjian boleh ditamatkan kerana kesemua itu tidak boleh diselesaikan , sebaliknya perlu melalui rundingan perundangan.

“Namun, apa yang pasti, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang bersungguh-sungguh mahu memastikan kebajikan peneroka FELDA terjamin.

“Masalah FELDA adalah isu legasi yang terpaksa kita galas, ini bukan isu PH, sebaliknya isu sejak pimpinan UMNO beberapa tahun lalu. Hutang FELDA sudah melepasi RM8 bilion dan ia bukan perkara mudah untuk diselesaikan memandangkan negara sendiri dibebankan dengan hutang.

“Kita tidak mahu terus bergelut dengan isu legasi berkenaan dan pengurusan baru FELDA sedang menggubal pelan pemuliharaan dan antara cadangan ANAK itu boleh kita pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan dan mengadakan pertemuan dengan penjawat awam, di sini, hari ini. Yang turut hadir, timbalannya, Dr Radzi Jidin.

Berdasarkan laman web FGV, aset tanah milik FELDA yang dipajak syarikat berkenaan adalah seluas 35,864 hektar menerusi Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) selama 99 tahun sejak 2012.

Akhbar hari ini melaporkan, FELDA disaran mengambil semula pajakan aset tanah bersama 68 kilang sawit daripada FGV bagi mengatasi masalah aliran tunai dan beban hutang tinggi ditanggung agensi itu.

Penasihat ANAK, Datuk Mazlan Aliman, berkata FELDA boleh berbuat demikian selaku pemegang saham terbesar dalam FGV sebanyak 34 peratus.

Katanya, aset tanah berkenaan dianggar bernilai RM2.5 bilion manakala operasi 68 kilang sawit pula mampu menjana pendapatan tahunan RM1 bilion.

Berita Harian X