Isnin, 4 March 2019 | 7:22pm
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan umum dasar baharu industri tenaga elektrik negara akan diumum April ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
MENTERI Tenaga, Teknologi, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan umum dasar baharu industri tenaga elektrik negara akan diumum April ini. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Dasar baharu industri elektrik diumum April

SHAH ALAM: Dasar baharu industri tenaga elektrik negara akan diumum April ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Bee Yin berkata, dasar baharu itu antara lain akan melonjakkan industri tenaga elektrik untuk lebih berdaya saing serta menstabilkan tarif elektrik untuk tempoh jangka panjang.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas sama ada dasar baharu itu bakal memecah monopoli Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam industri tenaga elektrik negara.

“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana dasar baharu ini sedang diperincikan dan tunggu pengumuman oleh kerajaan April nanti,” katanya selepas menjadi tamu program Bicara Minda di Seksyen 15, di sini, hari ini.

Program itu dikendalikan oleh moderator Tan Sri Johan Jaafar.

Terdahulu, ketika menjadi tamu program Bicara Minda, Bee Yin berkata, tenaga solar dijangka memainkan peranan lebih penting dalam penjanaan elektrik menjelang 2030.

“Ketika ini penggunaan tenaga solar di negara ini hanya dua peratus. Sasaran kerajaan ialah untuk meningkatkan penggunaannya kepada 20 peratus pada 2025.

“Seterusnya tenaga elektrik menggunakan solar akan menggantikan arang batu menjelang 2030 dan ini ialah sasaran kerajaan.

“Dengan peningkatan harga arang batu global, sasaran baharu ini diyakini akan dicapai,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Malaysia memiliki sumber semula jadi yang banyak seperti hidro, solar, biogas dan biomass.

Berita Harian X