Sabtu, 23 Februari 2019 | 8:32pm
Lam Thye (tengah) menampal pelekat Kempen Pencegahan Penipuan Macau Scam selepas menyempurnakan program kesedaran mengenai jenayah itu di Bakri, hari ini. - Foto BERNAMA
Lam Thye (tengah) menampal pelekat Kempen Pencegahan Penipuan Macau Scam selepas menyempurnakan program kesedaran mengenai jenayah itu di Bakri, hari ini. - Foto BERNAMA

Kempen elak jadi mangsa Macau Scam perlu disebar

MUAR: Kempen kesedaran mengenai pencegahan menjadi mangsa penipuan Macau Scam perlu disebar luas pada segenap peringkat masyarakat bagi memastikan orang ramai tidak mudah tertipu.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata berdasarkan statistik 2018 dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kerugian akibat penipuan jenayah itu meningkat 55.5 peratus seluruh negara berbanding 2017.

Beliau berkata, peningkatan itu membabitkan kerugian melebihi RM224.6 juta dengan 4,965 kes direkodkan berbanding tahun sebelumnya, iaitu RM99.9 juta dengan 4,178 kes akibat penipuan Macau Scam.

“Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi, iaitu 927 kes dengan jumlah kerugian RM50.4 juta, diikuti Johor 667 kes (RM26.1 juta) dan Kuala Lumpur 553 kes (RM43.3 juta).

“Masalah ini semakin rumit dan serius saban hari dan ia boleh dianggap jenayah paling ‘popular’ sekarang dan jenayah tanpa sempadan yang boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak terkecuali di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Macau Scam, di Bakri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Idris Rejab, dan Pengerusi MCPF Daerah Muar, Chua Teck Boon.

Lam Thye berkata, semua pihak berkaitan perlu bekerjasama membantu pihak polis dan MCPF dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penipuan sindiket berkenaan yang menyasarkan mangsa tidak kira lapisan umur dan tahap pendidikan.

Katanya, modus operandi penjenayah terbabit ialah menyamar sebagai pegawai daripada PDRM, mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi berkaitan dengan tujuan menakutkan mangsa. - BERNAMA

Berita Harian X