Jumaat, 22 Februari 2019 | 8:04pm

RON97, RON95 naik 10 sen

PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 naik 10 sen masing-masing meningkat kepada RM2.38 dan RM2.08 seliter, manakala diesel kekal RM2.18 seliter, mulai tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, berkata harga runcit produk petroleum yang ditetapkan itu bagi tempoh 23 Februari sehingga 1 Mac ini.

“Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Peningkatan harga runcit petrol RON95 didorong oleh faktor peningkatan purata kos produk diproses (refined product) di pasaran dunia berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada AS$63.11 setong kepada AS$66.91 setong.

“Bagi produk diesel, kos purata produk diproses turut meningkat secara ketara iaitu daripada AS$74.38 setong kepada AS$79.11 setong yang mana sepatutnya harga runcit diesel adalah sebanyak RM2.33 seliter.

“Namun selaras dengan janji kerajaan untuk menstabilkan harga runcit diesel sekiranya harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada paras yang ditetapkan, iaitu RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel, maka harga runcit diesel bagi tempoh 23 Februari sehingga 1 Mac ini terus dikekalkan pada paras RM2.18 seliter,” katanya.

Berita Harian X