Khamis, 21 Februari 2019 | 9:50pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Majlis Naib Canselor IPTS tingkat martabat pendidikan

KUALA LUMPUR: Majlis Naib Canselor institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diwujudkan sebagai platform bagi meningkatkan martabat pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata majlis itu turut menjadi medan perundingan antara universiti swasta dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi berkaitan.

Katanya, majlis dianggotai 14 ahli terdiri daripada Naib Canselor universiti swasta bagi sesi 2019/2020.

Pro Canselor Universiti MAHSA, Prof Datuk Dr Khairul Anuar Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Naib Canselor IPTS.

“Pendekatan ini adalah usaha diambil sektor pendidikan swasta dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara.

“Akses alternatif yang ditawarkan oleh IPTS memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Maszlee turut menekankan keperluan penambahbaikan beberapa sudut dalam sektor swasta.

“Penambahbaikan itu merangkumi penyampaian perkhidmatan, kualiti, dasar, proses dan prosedur.

“Justeru, satu dokumen hala tuju IPTS di Malaysia yang meliputi enam perkara akan dibangunkan oleh KPM bersama IPTS pada tahun ini.

“Enam perkara itu ialah pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pengantarabangsaan, tadbir urus, kelestarian serta inovasi,” katanya.

Berita Harian X