Isnin, 18 Februari 2019 | 8:35pm
MENTERI Sumber Manusia M Kulasegaran nafi dakwaan 30,000 bakal hilang pekerjaan. - Foto Abdullah Yusof

Dakwaan 30,000 orang hilang kerja tahun ini tidak benar - Kulasegaran

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, hari ini menyangkal dakwaan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa kira-kira 30,000 orang akan kehilangan kerja tahun ini.

“Sebaliknya, dengan kurang daripada 24,000 pengangguran yang dicatatkan tahun lalu, sebenarnya ada banyak peluang pekerjaan yang tersedia untuk mereka.

“Kadar pengangguran menunjukkan tiada apa-apa yang luar biasa, tiada apa yang menakutkan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara Continental Tyre Malaysia Sdn Bhd (CTM) dan Persatuan Kakitangan Continental Tyre Malaysia Sdn Bhd (COMSA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan CTM, Hoe Loo Fee.

Baru-baru ini, pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, menganggarkan 30,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini memandangkan peningkatan kos menjalankan perniagaan sebagai faktor utama jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat.

Shamsuddin berkata persekitaran ekonomi di dalam dan luar Malaysia adalah sukar, sekali gus menjadi cabaran utama bagi majikan untuk mengekalkan keuntungan mereka.

Sementara itu, Perjanjian Bersama yang ditandatangani hari ini menawarkan pakej imbuhan dan faedah tambahan kepada pekerja CTM termasuk peluang untuk bekerja dari rumah dan waktu kerja anjal. - BERNAMA

Berita Harian X