Isnin, 18 Februari 2019 | 5:59pm
Lim Kit Siang (tengah) menghadiri mesyuarat kali kedua kaukus berkenaan di bangunan Parlimen, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

'RCI pelihara integriti badan kehakiman'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera untuk merungkai isu dakwaan salah laku beberapa hakim kanan negara.

Timbalan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Lim Kit Siang, ketika mengutarakan pendirian itu berkata, pelaksanaan langkah berkenaan penting bagi memelihara integriti dan kebebasan badan kehakiman.

“Kaukus memandang serius isu dibangkitkan hakim terbabit yang mendapat liputan meluas bukan saja dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa sejak kebelakangan ini.

“Kita juga bersama-sama masyarakat Malaysia amnya, amat mengambil berat akan hal ini atas nama menjaga institusi kehakiman negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat kali kedua kaukus berkenaan di bangunan Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sabtu lalu, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, dalam afidavit setebal 63 muka surat, mendakwa berlaku campur tangan terbuka badan itu, membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, mengulas inti pati mesyuarat, Anwar berkata, kaukus mencadangkan wujud penyertaan wakil Dewan Negara bagi memberi bidang kuasa yang lebih besar kepada jawatankuasa terbabit.

“Mesyuarat seterusnya akan membincangkan mengenai beberapa perkara, termasuk isu kemiskinan bandar, harga barang dan pendapatan rakyat yang menjadi antara masalah besar negara.

“Kita akan minta wakil daripada Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (ICU) untuk hadir pada mesyuarat berkenaan,” katanya sambil mengakui kaukus turut membincangkan isu berkaitan prestasi pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, penentuan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan dibincangkan menerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Mengikut tradisi, katanya, kerusi berkenaan ialah hak milik PKR, namun percaturan terakhir perlu dilaksanakan menerusi saluran yang betul dan berpaksikan semangat kesepakatan bersama.

“Cara biasa kita putuskan dalam mesyuarat (Majlis) Presiden (Pakatan Harapan). Tradisi ini bukan hukum,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Berita Harian X