Isnin, 18 Februari 2019 | 10:37am

Rapid KL papar rakaman CCTV secara terus

Oleh Faris Fuad

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Rapid KL mengambil inisiatif pencegahan tambahan termasuk memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam lif terus kepada kakitangan bertugas, susulan kejadian samun di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, minggu lalu.

Rapid KL selaku pengendali perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh- Kajang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, rakaman itu dapat dilihat menerusi skrin utama, sekali gus membolehkan aktiviti mencurigakan diketahui dengan lebih pantas.

Pada masa sama, katanya, Prasarana menambah bilangan anggota pasukan tindakan khas (SAT) di beberapa lokasi panas seliaan RapidKL.

“Pasukan SAT adalah unit khas yang ditubuh Jabatan Sekuriti Prasarana dan berpakaian seragam ketika melakukan rondaan di kawasan terbabit.

“Orang ramai disaran mengelak berjalan di laluan atau tempat sunyi.

“Pengguna pengangkutan awam kendalian Rapid KL boleh mendapatkan perkhidmatan pengiring untuk ke tempat parkir sekiranya ada keperluan,” katanya.

Mengulas kes samun itu, katanya, pihaknya menyerahkan rakaman CCTV kepada pihak polis kejadian 14 Februari lalu.

“Mangsa yang cedera di muka dan kepala mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan kini berehat di rumah,” katanya.

Khamis lalu, seorang wanita berdepan detik cemas apabila disamun ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras.

Kejadian jam 6.45 pagi itu dirakam CCTV dalam lif berkenaan dan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa berusia 48 tahun yang menggalas sebuah beg dan memegang beg tangan dilihat masuk ke dalam lif disusuli seorang lelaki.

Belum sempat pintu lif ditutup, suspek menyerang mangsa dengan menumbuknya di muka menyebabkan wanita itu jatuh.

Suspek membelasah mangsa tanpa belas kasihan walaupun mangsa dilihat merayu dan cuba mempertahankan dirinya.

Berita Harian X