Ahad, 17 Februari 2019 | 2:18pm
MOHD Rashid (Kiri) membantu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua dari Kiri) menyampaikan replika cek sumbangan Parlimen Simpang Renggam kepada Jazman (dua dari kanan) di Masjid Jamek Darul Salam FELDA Ayer Hitam malam tadi. - Foto Adnan Ibrahim

Bantuan manfaat masjid, sekolah agama

KLUANG: Pejabat Parlimen Simpang Renggam menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk bantuan penyelenggaraan dan penggantian kelengkapan Masjid Jamek Darul Salam FELDA Ayer Hitam dan Sekolah Agama FELDA Ayer Hitam di sini.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM12,000 diserahkan kepada pengurusan Masjid Jamek Darul Salam dan Sekolah Agama FELDA Ayer Hitam (RM3,000).

Ketua Kampung FELDA Ayer Hitam, Mohd Rashid Taha, berkata bantuan akan digunakan untuk menggantikan beberapa kelengkapan masjid berkenaan, terutama peralatan siar raya yang uzur dan rosak.

Katanya, masyarakat kawasan bersyukur apabila bantuan yang dipohon melalui Pejabat Daerah Kluang pertengahan tahun lalu mendapat perhatian Pejabat Parlimen Simpang Renggam.

“Penduduk kampung ini berterima kasih atas keprihatinan Pejabat Parlimen Simpang Renggam yang membolehkan kemudahan di masjid berkenaan dinaiktaraf.

“Sumbangan ini akan digunakan dengan baik bagi memberi manfaat kepada semua, merangkumi masjid dan penduduk di FELDA Ayer Hitam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kunjungan Mesra Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Jamek Darul Salam FELDA Ayer Hitam, Jazman Labib dan Pengerusi Sekolah Agama FELDA Ayer Hitam, Abdul Samad Abdul.

Sementara itu, Abd Samad berkata, sumbangan diterima akan memanfaatkan 295 murid sekolah berkenaan.

“Kita akan menggantikan beberapa peralatan yang uzur di sekolah ini bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Berita Harian X