Khamis, 14 Februari 2019 | 7:28pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dikurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Agong terima Darjah Utama Seri Mahkota Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dikurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) di Istana Negara di sini.

Penganugerahan darjah kebesaran itu disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ke majlis itu pada 3.30 petang ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, pada 15 Januari lalu dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Darjah kebesaran itu lazimnya diberikan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya serta orang paling dihormati.

Darjah kebesaran itu mempunyai lima komponen utama iaitu kalung, lencana darjah pada kalung, bintang darjah, selepang darjah dan lencana darjah pada selepang.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Majlis penyampaian darjah kebesaran itu turut disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Peguam Negara, Tommy Thomas; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. – BERNAMA

Berita Harian X