Rabu, 13 Februari 2019 | 9:55pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan komited perkasa Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperkasakan Mahkamah Syariah secara menyeluruh, termasuk meningkatkan kompetensi Hakim dan Pendakwa Syarie, tadbir urus serta menaik taraf prasarana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata justeru adalah tidak benar untuk mengatakan tiada sebarang usaha menambah baik Mahkamah Syariah bawah Malaysia Baharu.

“Kerajaan turut memberi penekanan pada kajian dan semakan semula undang-undang sedia ada, serta meliputi pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil.

“Selain itu, pelbagai pembaharuan sedang dilaksanakan di Mahkamah Syariah seperti menaik taraf sistem E-Syariah kepada versi 3 dan pembangunan kompleks Mahkamah Syariah baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mujahid berkata, kerajaan juga sedang meningkatkan tahap kecekapan penyelesaian kes tertunggak melalui beberapa program inovasi, antaranya menerusi projek proses kerja kes cerai ‘Fast Track’, Sistem MySolve, Sistem E-Siap dan Sistem MyReCourt.

Selain itu, beliau berkata, program latihan dan peluang melanjutkan pengajian untuk pegawai syariah akan diperkenal bagi melahirkan pegawai yang memiliki kemahiran pelbagai serta mampu meningkatkan lagi sistem penyampaian kepada masyarakat.

“Kita akan memastikan pengambilan pegawai syariah adalah dalam kalangan mereka yang berkemahiran tinggi dan memiliki kompetensi terbaik untuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Mahkamah Syariah,” katanya.

Berita Harian X