Isnin, 11 Februari 2019 | 12:19pm
DR Maszlee menyambut ketibaan sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma, Beranang sebelum menghadiri Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia: Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
DR Maszlee menyambut ketibaan sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma, Beranang sebelum menghadiri Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia: Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Sekolah terbengkalai 6 tahun dijangka siap tahun depan - Maszlee

HULU LANGAT: Pembinaan sekolah di Taman Pelangi, dekat Semenyih yang tertangguh lebih enam tahun ketika pentadbiran kerajaan terdahulu dijangka siap 19 Oktober 2020.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pembangunan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Taman Pelangi berkeluasan 4.05 hektar dengan skop projek mengandungi 24 bilik darjah itu bakal dilengkapi teknologi hijau.

Katanya, pembinaan projek bernilai RM20.7 juta itu turut dijangka mampu disiapkan lebih awal daripada jadual asal seperti kejayaan yang pernah ditempa dalam pembangunan sekolah di Putrajaya sebelum ini.

“Kejayaan projek ini hasil perjuangan Persatuan Penduduk Taman Pelangi, Semenyih sejak 2012 yang hanya berjaya direalisasikan selepas Pakatan Harapan mengambil alih dan meluluskan pembinaannya pada Oktober, tahun lalu.

“Apabila siap, sekolah ini mampu memuatkan lebih 700 murid, justeru berupaya menyuraikan isu kesesakan dihadapi di sekolah lain, iaitu dekat Bandar Rinching dan Bandar Tasik Kesuma.

“Sekian lama mereka (persatuan penduduk) menanti pembinaannya, kini ia hadiah buat komuniti Taman Pelangi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek sekolah berkenaan, hari ini.

Ditanya punca projek terbabit terbengkalai, Maszlee berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa wujud kelewatan proses di Unit Perancang Ekonomi (EPU), sekali gus merencatkan perjalanan pembinaan sekolah berkenaan.

Katanya, urusan penukaran hak milik tanah untuk membangunkan sekolah berkenaan menerusi Kerajaan Selangor diselesaikan sejak 2015.

“Sebelum ini, ia (projek sekolah ini) tertangguh, tetapi menjadi komitmen kerajaan baharu untuk mempercepatkan pembinaan kemudahan seperti ini.

“Paling penting, ia sudah dilaksanakan sekarang,” katanya tanpa enggan mengulas lanjut berhubung penangguhan projek pembinaan sekolah terbabit yang didakwa angkara kepincangan pentadbiran terdahulu.

Selain SRK Taman Pelangi, Maszlee berkata, beberapa sekolah lain akan dibangunkan menggunakan dana RM67.58 juta yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Selaras dasar kerajaan melalui pekeliling perbendaraan, katanya, Kementerian Pendidikan menetapkan semua projek baharu RMKe-11 mulai 2019 akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan melalui proses tender terbuka.

“Daripada keseluruhan dana, sebanyak RM3 juta disalurkan untuk projek penggantian penuh enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam.

“Sebanyak RM180,000 pula disalurkan untuk projek baik pulih satu bilik darjah bagi pendidikan prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) West Country Timur, Bandar Baru Bangi, sekali gus memanfaatkan 25 murid.

“Peruntukan RM1.4 juta bagi projek baik pulih dua bilik darjah untuk prasekolah di SRK Kebun Baharu, Telok Panglima Garang juga akan diberikan bagi demi kegunaan 50 murid.

“Akhirnya, peruntukan RM63 juta dikhaskan untuk projek pembinaan sekolah baharu dengan 42 bilik darjah bagi SMK Bukit Mahkota, Bangi yang mampu menempatkan 1,260 pelajar,” katanya.

Pada majlis berasingan, Maszlee menolak dakwaan penganjuran program kementerian di sekitar Hulu Langat dan Beranang ialah berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau sebaliknya menjelaskan rangkaian program berkenaan diatur lebih awal, malah dilaksanakan seluruh negara bagi memastikan nikmat pembangunan yang menyeluruh.

“Kebetulan saja kami turun ke sini. Sebenarnya program seperti ini sudah dirancang lebih awal daripada pengumuman PRK DUN Semenyih,” katanya.

Berita Harian X