Ahad, 10 Februari 2019 | 12:01pm
PELBAGAI cara digunakan pelarian untuk mengangkut tong berisi minyak tanah dari tempat agihan ke khemah masing-masing.
PELBAGAI cara digunakan pelarian untuk mengangkut tong berisi minyak tanah dari tempat agihan ke khemah masing-masing.

Dua minggu sejuk bersama pelarian Syria

BUKAN semua orang berpeluang merasai pengalaman berada di kem pelarian, apatah lagi mendekati secara mengharungi sendiri kehidupan mereka yang tersepit sebagai mangsa konflik peperangan.

Bagi saya, menyaksikan keluarga pelarian Syria berebut sisa sayuran dengan biri-biri, menjadikan tugasan sebagai sukarelawan sambil melapor berita, sebagai satu pengembaraan yang menyelami erti kemanusiaan.

Mereka berebut demi mendapatkan salad di ladang yang mahu dibersihkan pemilik pada penghujung musim tuaian, membuatkan suasana itu antara detik menyentuh hati sepanjang dua minggu saya hidup bersama mereka dalam kem penempatan di Lembah Beqaa, Lubnan, 15 hingga 31 Januari lalu.

Sayuran salad yang diperoleh dalam perebutan itu, sesetengahnya terus dimakan umpama makanan ringan oleh anak kecil pelarian tanpa dibasuh, menunjukkan betapa aspek kebersihan bukan lagi keutamaan dalam hidup mereka, hingga mengundang pelbagai penyakit dalam kalangan kanak-kanak pelarian.

SUKARELAWAN mengagihkan bekalan minyak tanah yang menjadi keperluan penting setiap keluarga pelarian bagi menghidupkan pemanas udara dalam khemah masing-masing sepanjang musim sejuk.
SUKARELAWAN mengagihkan bekalan minyak tanah yang menjadi keperluan penting setiap keluarga pelarian bagi menghidupkan pemanas udara dalam khemah masing-masing sepanjang musim sejuk.

Sanggup berkongsi makanan

Hati bertambah sayu, apabila menyedari keluarga pelarian yang dikunjungi di khemah penempatan mereka, masih sanggup berkongsi makanan apabila mengutamakan hidangan kepada saya dan rakan sukarelawan yang bertandang. Begitu besar jiwa mereka dalam menyantuni tetamu walaupun mereka sebenarnya amat memerlukan makanan itu.

Tambah berasa terharu apabila bukan setakat golongan dewasa, malah anak pelarian juga tidak lokek berkongsi biskut dengan rakan, sebaik menerima agihan yang dibuat, meskipun akhirnya bahagian sendiri hanya tinggal cebisan.

Sikap mulia mereka membuatkan sepanjang dua minggu mengembara menjadi sukarelawan sambil menjelajah 43 kem pelarian di seluruh Lubnan, terutama sekitar Lembah Beqaa, saya tidak tergamak makan secara terbuka bekalan coklat yang sentiasa dibawa sebagai pengalas perut, kerana bimbang ada yang memerhati tanpa disedari.

Memahami keadaan kem pelarian, saya menerima seadanya apabila diarah mendiami khemah yang serba kekurangan, dibina menggunakan kanvas kitar semula, diperitkan lagi dengan catuan air dan elektrik setiap hari, situasi yang ditempuhi semua pelarian Syria selama ini, adalah pengalaman cukup berharga sepanjang mendekati hidup mereka.

Kerosakan bumbung bahagian hadapan, menyebabkan khemah tempat ‘kediaman’ saya menakung air setiap kali hujan, turut menguji kesabaran diri untuk terus bertahan.

Apatah lagi mengharungi kehidupan sebagai pelarian dalam suasana musim sejuk ketika ini, dengan suhu persekitaran boleh berubah pada bila-bila masa di antara -10 hingga 10 darjah celsius, di samping hujan dan salji, yang boleh melanda pada bila-bila masa.

SUKARELAWAN wanita sering menjadi tumpuan kanak-kanak setiap kali mengunjungi kem pelarian.
SUKARELAWAN wanita sering menjadi tumpuan kanak-kanak setiap kali mengunjungi kem pelarian.

Bertahan tak mandi dua minggu

Kesejukan sepanjang minggu pertama mendiami kem pelarian, penulis mengalami pendarahan dalam hidung setiap kali pulang ke khemah sebaik selesai tugasan di luar. Kesejukan dan gangguan bekalan air menyebabkan ada antara rakan sukarelawan rela tidak mandi sepanjang mendiami kem.

Saya sendiri bertahan tidak mandi selama lima hari sebelum berhasil mendapatkan sebiji cerek kecil digunakan untuk memanaskan air pada setiap pagi, secara meletaknya di atas pemanas udara yang menjadi kelengkapan penting dalam setiap khemah keluarga pelarian sepanjang musim sejuk ini.

Meskipun pernah membuat liputan mengenai pelarian di sempadan Pakistan dan Afghanistan pasca kejatuhan pentadbiran Taliban sekitar tahun 2000, namun pengalaman hidup bersama pelarian Syria di Lubnan, lebih mencabar kerana menguji ketahanan mental dan fizikal.

Saya menyahut pengembaraan mencabar ini selepas diterima menjadi sukarelawan Aman Palestin. Sokongan moral rakan editor di pejabat, menguatkan semangat mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya, menjadi sukarelawan sambil menyediakan laporan berita dan video dari lapangan dalam suasana mencabar.

Luruan angin sejuk yang dirasai dalam persekitaran suhu 11 darjah celsius, sejurus kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, membuatkan saya bersama 14 rakan sukarelawan lain, bergegas menaiki bas yang menanti, demi mendapatkan rasa panas.

Beirut ke Lembah Beqaa yang dikelilingi jajaran Bukit Faour, hanya 50 kilometer (km), namun kesesakan trafik serta keadaan laluan tidak sempurna, menyebabkan perjalanan mengambil masa dua jam untuk sampai ke kem Al-Awdah, yang diuruskan Unions of Relief and Development Association (URDA).

Sejurus tiba di kem Al-Awdah, saya bersama lapan lagi rakan ‘pengembara’ sukarelawan lelaki daripada Aman Palestin yang dibahagikan kepada tiga kumpulan, mendiami penempatan sama seperti keluarga pelarian di situ.

Saya bersama Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab dan Abu Huzaifah, mendiami penempatan pelarian berupa pondok berlantai tanah dan berbumbung kanvas yang dilengkapi tandas curah tanpa pintu, sebaliknya sehelai kain dijadikan langsir, terletak bersebelahan ruang dijadikan dapur.

Meskipun berlantaikan simen pecah dan tanah, namun saya tidak bimbang kerana katil besi disediakan pengurusan kem tetapi kami perlu menunggu sehingga jam 5.30 petang untuk mendapatkan bekalan elektrik daripada generator berpusat yang menyalurkan bekalan sehingga jam 12 tengah malam.

Sepanjang tempoh bekalan elektrik diterima itu, kami perlu memastikan bateri telefon bimbit dan kamera serta power bank dicaj sepenuhnya.

Musim sejuk sejak Disember lalu hingga akhir Mac ini, membuatkan Lubnan mengalami waktu malam yang lebih panjang iaitu mulai 5 petang hingga 7 pagi.

Setiap hari, program bermula dengan sesi tazkirah dikendalikan Anas selepas solat subuh bersama pelarian di masjid terletak di depan khemah penempatan pada jam 5.30 pagi.

Gerak kerja bermula selepas jam 10 pagi apabila Pengurus URDA Lembah Beqaa, Omar Jannoun atau pembantunya, Ibrahim Abu Noah, memaklumkan mengenai pergerakan kami, sama ada perlu berjalan atau menaiki van disediakan.

Sepanjang empat hari pertama, kami ditugaskan membantu kerja pembungkusan roti Lubnan dalam kilang yang beroperasi dalam kem Al-Awdah sebelum mengagihnya secara percuma kepada kem pelarian terpilih.

Kerja mengagihkan bungkusan roti kelihatan mudah. Kami perlu mengunjungi setiap khemah pelarian, bagi mengelak ada yang tercicir sumbangan roti yang menjadi antara makanan ruji keluarga pelarian.

PENULIS mendiami khemah yang serba kekurangan dan dibina menggunakan kanvas kitar semula
PENULIS mendiami khemah yang serba kekurangan dan dibina menggunakan kanvas kitar semula

Pikul roti, minyak ke khemah

Setiap kali keluar membuat agihan roti, saya memanfaatkan peluang itu untuk meninjau kehidupan pelarian yang mendiami kem, kerana setiap penempatan ada kisah tersendiri.

Setiap keluarga pelarian biasanya diberikan dua bungkusan roti, yang penghasilannya diuruskan kilang URDA yang terletak dalam kem Al-Awdah tetapi agihan bantuan bekalan makanan itu bergantung kepada biaya penderma.

Walaupun mempunyai keupayaan kapasiti pengeluaran yang tinggi, kilang roti itu tidak diberi lesen menjual bagi menjana keuntungan untuk memperluaskan bantuan mereka kerana kerajaan Lubnan mahu melindungi perusahaan sama milik penduduk tempatan.

Selain mengagihkan roti, saya bersama rakan sukarelawan juga ditugaskan mengagih bantuan minyak tanah kepada setiap keluarga pelarian di kawasan kem yang menerima agihan kupon yang dikeluarkan oleh Aman Palestin bersama URDA.

Kehadiran ramai warga emas dan ibu hamil tampil menerima agihan minyak tanah, menyebabkan kami perlu membantu memikul tong berisi 20 liter minyak ke khemah mereka.

Dalam agihan di kawasan Arsal, yang masih diselaputi salji tebal, kami perlu mendaki bukit setinggi 150 meter sambil masing-masing memikul dua tong minyak.

Memang mencabar menghantar agihan bantuan minyak tanah di kawasan berbukit, namun kepenatan mendaki terubat, malah ada kalanya mengundang rasa sebak pula bila warga emas dan ibu pelarian yang dihantar sumbangan itu mendoakan kesejahteraan sambil berterima kasih kepada kami.

KEADAAN kem pelarian Syria serba kekurangan di Lembah Beqaa.
KEADAAN kem pelarian Syria serba kekurangan di Lembah Beqaa.

Trauma rakan mati dalam perang

Walaupun bahasa penghubung menjadi kekangan, namun ia bukan penghalang apabila kami bersedia dengan beberapa patah perkataan bahasa Arab bagi memperkenalkan diri dan mengajak mereka bergambar.

Di sebalik kegirangan wajah mereka, hakikatnya daripada pengamatan saya, anak-anak pelarian ini masih diselubungi trauma perang.

Dalam satu program bersama pusat khidmat komuniti URDA, kami dikejutkan perlakuan seorang gadis berusia 15 tahun, yang secara tiba-tiba bertukar murung ketika rakan lain gembira menyertai acara disediakan.

Daripada penjelasan guru pusat berkenaan, kami mendapat tahu remaja terbabit masih trauma kerana pernah menyaksikan rakan karibnya terbunuh ketika perang di Syria, menyebabkan dia kini terpaksa dirujuk untuk bantuan dan rawatan psikiatri.

Ketika menziarahi sebuah keluarga pelarian, saya mendapat tahu seorang gadis berusia 14 tahun yang ibu bapanya terbunuh dalam perang di Syria, dikahwinkan dengan lelaki lebih berusia oleh datuk, yang tidak lagi mampu menjaganya.

Setiap khemah pelarian kendalian URDA berkeluasan 200 kaki persegi tanpa sebarang sewaan, berbanding penempatan dibina sendiri pelarian yang menyewa tapak daripada penduduk tempatan Lubnan dengan sewa mencapai AS100 (RM400) sebulan bagi keluasan 300 kaki persegi.

Keadaan ruang khemah yang terhad berbanding ahli keluarga pelarian yang puratanya antara lima hingga 10 orang, menyebabkan mereka terpaksa bersesak setiap kali mahu tidur.

Ketika membuat agihan pakaian dari rumah ke rumah dalam kawasan kem pelarian Yasamin, bersebelahan Al-Awdah, kami sering bertembung kanak-kanak yang berkeliaran di sekitar penempatan itu.

Saya percaya tindakan agensi bantuan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), World Food Programme (WFP) menyalurkan sumbangan AS$27 (RM110) sebulan menerusi kad debit, antara punca pasangan pelarian berusaha menambah bilangan anak.

Malangnya daripada 800,000 pelarian mendiami kem sekitar Lembah Beqaa, saya dimaklumkan pegawai WFP yang bertugas di wilayah itu, hanya 500,000 menikmati kemudahan terbabit, tanpa sebarang penjelasan apa yang berlaku kepada baki yang tidak menerimanya.

Pelarian perlu rancang keluarga

Saya melihat tanpa perancangan keluarga, jumlah ahli keluarga pelarian yang terlalu ramai bakal mencetuskan masalah sosial pada masa depan, seterusnya menghimpit kehidupan mereka dalam kem apabila tidak mendapat bantuan, sedangkan masa sama berdepan kesukaran mencari pekerjaan.

Selama dua minggu mengharungi kehidupan dalam kem sambil mengagihkan bantuan bernilai RM700,000 sumbangan rakyat Malaysia menerusi Aman Palestin kepada 8,300 keluarga pelarian, ternyata cabaran hidup mereka bukan setakat ketika lari daripada konflik di negara asal, sebaliknya terpaksa berdepan pelbagai rintangan di tempat orang yang belum pasti penghujungnya.

Berita Harian X