Jumaat, 1 Februari 2019 | 9:01am

40,000 nikmati bantuan Aman Palestin

LUBNAN: Aman Palestin mengagihkan bantuan bernilai kira-kira RM700,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada 8,300 keluarga pelarian Syria yang mendiami kem sekitar Lembah Beqaa sepanjang tempoh dua minggu program sukarelawan misi bantuan musim sejuk 2019 yang berakhir semalam.

Menerusi agihan berkenaan, lebih 40,000 pelarian pelbagai usia yang mendiami kem khususnya sekitar Lembah Beqaa, mendapat manfaat daripada agihan minyak tanah, kotak makanan, roti, pakaian musim sejuk dan program intervensi kanak-kanak mangsa perang.

Selain itu, Aman Palestin turut menyumbang AS$18,000 bagi membantu usaha membaik pulih masjid dalam kem pelarian Yasamin dan menyumbang van kepada pusat sokongan pelarian orang kurang upaya (OKU) bersama dana penyediaan anggota palsu atau prostesis berjumlah AS$47,500.

Sepanjang tempoh itu, 15 sukarelawan Aman Palestin melakukan agihan terbabit, turut mendiami khemah penempatan pelarian di Kem Al-Awdah, yang terletak di kawasan pertanian gandum dan sayuran, kira-kira 10 kilometer di pinggir bandar Bar Elyas di sini.

Kumpulan sukarelawan, termasuk enam wanita dari seluruh Malaysia itu, tinggal dalam khemah sama dengan kemudahan terhad seperti kediaman pelarian, diketuai Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab selaku ketua misi.

Agih bantuan di 43 kem

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut, berkata sepanjang tempoh itu, mereka melakukan agihan bantuan kepada pelarian yang mendiami 43 kem di Lubnan dengan tumpuan sekitar Lembah Beqaa dan Arsal.

Beliau berkata, selain itu agihan turut dibuat kepada pelarian yang mendiami kawasan lain di Lubnan seperti Chebaa, Akkar, Tripoli (Lubnan), Beirut dan Lubnan selatan.

“Program ini berjalan lancar hasil kerjasama Unions of Relief and Development Association (URDA) yang mengendalikan 21 kem pelarian di Lubnan, manakala sumbangan van untuk pelarian OKU diberikan kepada Balsamah Centre di Saida.

“Berdasarkan kelancaran program yang diadakan, kita bercadang menjadikan program penempatan sukarelawan dalam kem pelarian sambil berbakti dan mengagihkan bantuan sebagai acara tahunan,” katanya yang turut turun padang meninjau perjalanan program agihan bantuan itu.

Awang Sufian berkata, menerusi penempatan dalam kem dengan penginapan dan kemudahan sama seperti pelarian lain, sukarelawan Aman Palestin berpeluang menghayati kehidupan pelarian secara lebih dekat.

“Berbekalkan pengalaman sendiri, akan memudahkan mereka berkongsi maklumat mengenai kesengsaraan hidup pelarian dengan masyarakat di Malaysia.

“Sepanjang penempatan sukarelawan di kem pelarian juga, ramai penyumbang dana bagi membantu golongan pelarian turut mengikuti maklumat yang dikemas kini setiap hari,” katanya.

Sementara itu, sukarelawan dari Sarawak, Mohd Farid Ariffin, 31, menyifatkan peluang menyelami suka duka kehidupan pelarian adalah pengalaman tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

“Saya bangga dipilih menyampaikan amanah rakyat Malaysia bagi memastikan sumbangan dihulurkan mereka menerusi Aman Palestin sampai ke tangan pelarian Syria yang dihimpit pelbagai kesulitan sepanjang musim sejuk yang sedang melanda.

“Penempatan dalam kem pelarian juga memberi peluang mengenali budaya baharu dan selepas ini, ia memudahkan saya untuk berkongsi penderitaan rakyat Syria bersama masyarakat Malaysia khususnya di Sarawak,” katanya.

Pengalaman harungi cuaca sejuk ekstrem

Sukarelawan dari Semenyih, Selangor, Mohd Rosdi Roslan, 31, pula berkata selain pengalaman mendiami kem pelarian, peluang melihat bumi Palestin yang dikepong dengan tembok binaan Zionis di kawasan bersempadan Lubnan mengundang rasa terharu, hiba dan geram.

“Pengalaman mengharungi cuaca sejuk yang ekstrem memang menguji fizikal dan mental dalam melaksanakan tugas diamanahkan,” katanya.

Sukarelawan dari Terengganu, Syahmizan Sahrom, 26, menyifatkan peluang pertama diterimanya berkhidmat di kem pelarian selama 15 hari adalah yang terbaik.

“Selepas ini, saya yakin mampu berkongsi lebih terperinci berdasarkan pengalaman sendiri hidup dalam kalangan pelarian dengan kemudahan dan kekangan sama seperti dialami mereka.

“Peluang melihat sendiri tembok konkrit dibina rejim Zionis bagi tanah Palestin yang dijajah dan diduduki mereka secara haram, mengundang rasa sedih dan sebak mengenang nasib Masjidil Aqsa,” katanya yang sudah menerima undangan berkongsi pengalaman dengan jemaah sebuah surau minggu depan.

Semua sukarelawan Aman Palestin terbabit dalam misi itu selamat tiba di tanah air pagi semalam.

SUKARELAWAN Aman Palestin tiba di tanah air semalam, selepas menamatkan misi 15 hari mengagihkan bantuan musim sejuk kepada 8,300 keluarga pelarian Syria di Lubnan. - Foto NSTP/Ismail Mat
SUKARELAWAN Aman Palestin tiba di tanah air semalam, selepas menamatkan misi 15 hari mengagihkan bantuan musim sejuk kepada 8,300 keluarga pelarian Syria di Lubnan. - Foto NSTP/Ismail Mat
Berita Harian X