Rabu, 30 Januari 2019 | 8:09pm

Kumpul wang seludup keluarga ke Lubnan

LUBNAN: Kesempitan dan tekanan hidup dilalui rakyat Syria, kini diambil kesempatan oleh penyeludup di sempadan, untuk meraih laba dengan mendalangi kegiatan menyeludup mereka keluar sebagai pelarian ke Lubnan dengan mengenakan caj yang tinggi.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada langkah kerajaan Lubnan menutup sempadan kepada kemasukan pelarian Syria yang baharu, sebaliknya mahu mereka yang berada di wilayahnya, kembali ke negara asal, walaupun tiada langkah tegas melaksanakan dasar itu.

Antara penduduk Syria yang menjadi mangsa penyeludupan adalah bekas buruh kilang dari Damsyik, Ahmed Hajali, 46, yang baru seminggu berada di kem Al-Awdah di sini.

“Saya baru tiba di sini sejak minggu lalu, selepas membayar AS$200 kepada pihak tertentu untuk membawa keluar dari Syria melalui laluan haram di kawasan pergunungan sekitar Rashaia.

“Kira-kira enam bulan lalu, saya membayar AS$1,000 kepada pihak sama untuk membawa isteri bersama tujuh anak kami ke sini.

“Demi keselamatan, kami tiada pilihan selain keluar dari Syria,” katanya yang kini bersatu dengan isteri dan tujuh anak mereka di sebuah khemah pelarian dalam kem Al-Awdah di sini, kelmarin. Ahmed berkata, selepas kawasan penempatan mereka di Aleppo, Syria musnah dibedil, beliau membawa keluarganya berpindah ke Damsyik sambil bekerja sebagai buruh demi mengumpul wang sebelum menyeludup isteri dan anak-anaknya keluar dari Syria.

“Saya tidak turut serta ketika hantar isteri dan anak-anak keluar kerana tidak cukup wang untuk bayar kepada penyeludup," katanya.

Penulis bertemu Ahmed ketika menziarahi khemah keluarganya selepas mendapat tahu seorang bayi yang dilahirkan di Syria mengalami komplikasi tumbesaran.

Di khemah itu, isteri Ahmed, Asyah Hassan, 42, mendakwa banyak terhidu bahan kimia ketika sedang mengandung anak mereka, Aziza, dua tahun, sehingga bersalin ketika kandungan berusia enam bulan.

Asyah berkata, dia dan anak-anaknya bernasib baik kerana dapat mendiami sebuah khemah dalam kem Al-Awdah selepas merayu penempatan di situ berikutan masalah kesihatan dialami anak bongsunya itu yang masih seperti bayi baru dilahirkan, walaupun sudah berusia lebih dua tahun.

“Sepanjang ketiadaan suami, saya bersama tiga anak bekerja sebagai buruh kebun sayur milik penduduk tempatan berdekatan, sedikit sebanyak dapat menampung hidup kami sambil mengharapkan sumbangan pengurusan kem ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Asyah berkata, beliau hanya berharap anak bongsunya mendapat rawatan terbaik ketika berada di kem ini, namun setakat ini harapannya hampa.

Beliau hanya mampu memberi anaknya susu sambil berdoa agar keajaiban berlaku demi masa depan Aziza.

Sebuah klinik kesihatan yang dibuka bersebelahan kem pelarian Al-Awdah di sini, beroperasi dengan keupayaan yang terhad.

Pengurus URDA Pejabat Beqaa, Omar Jannoun. - NSTP/Ismail Mat
Pengurus URDA Pejabat Beqaa, Omar Jannoun. - NSTP/Ismail Mat

Pengurus Union of Relief and Development Association (URDA) Pejabat Beqaa, Omar Jannoun, mengakui kerajaan Lubnan kini melarang pembukaan kem pelarian yang baru kerana kebanyakan penempatan sedia ada tidak teratur dan bahaya.

“Ketika ini, ada 1.4 juta pelarian Syria di Lubnan dengan 60 peratus mendiami kem sekitar Lembah Beqaa. Keadaan itu juga menyebabkan kerajaan kini melarang pembukaan kem baharu.

“Lubnan mahu cari penyelesaian untuk pelarian kembali ke Syria dan tidak mahu mereka tinggal di sini untuk tempoh lebih panjang

“Bagaimanapun, setakat ini tiada tindakan mendesak diambil untuk menghantar mereka kembali ke Syria. Masa sama kemasukan pelarian masih berlaku secara haram menerusi laluan sempadan di kawasan pergunungan,” katanya.

Omar mengetahui pengurusan URDA yang mengendalikan 21 kem di sekitar Lembah Beqaa yang menempatkan lebih 2,500 keluarga pelarian sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, ada juga pelarian Syria kembali ke negara asal tetapi terpaksa berpatah balik ke Lubnan kerana tiada pekerjaan dan bantuan selain enggan dipaksa menyertai tentera oleh rejim pemerintah.

“Walaupun turut dihimpit kesulitan, namun kehidupan dalam kem lebih teratur dengan kemudahan dan bantuan yang disediakan,” katanya.

Kem pelarian di sekitar Lembah Beqaa terdedah kepada bahaya kebakaran kerana khemah penempatan mempunyai sistem pendawaian elektrik yang tidak teratur selain susun atur dapur dan bahan binaannya mudah terbakar.

Ketua misi sukarelawan, Anas Abdul Wahab mengagihkan makanan ringan kepada anak pelarian di sekitar Arsal, petang kelmarin. - NSTP/Ismail Mat
Ketua misi sukarelawan, Anas Abdul Wahab mengagihkan makanan ringan kepada anak pelarian di sekitar Arsal, petang kelmarin. - NSTP/Ismail Mat

Malah, pegawai UNHCR pejabat Beqaa, Josef Zapater, yang ditemui ketika meninjau Kem Yasamin di bawah pengurusan URDA, mengakui kem pelarian atas tanah persendirian di sini terdedah kepada banjir kerana terletak di kawasan rendah berdekatan saliran dan kebakaran seperti yang mengorbankan sembilan kanak-kanak tahun lalu.

Sementara itu, penulis bersama rakan sukarelawan Aman Palestin di Kem Al-Awdah meneruskan tugas harian dengan mengagihkan bantuan di sekitar Arsal dan kem Musa Al-Hindi yang terletak dekat Bar Elyas serta menyertai intervensi bersama anak pelarian di Kem Yasamin.

Selesai semua tugasan di luar kem, lewat petang kelmarin, dalam keadaan hujan, kami bertungkus lumus mengagihkan bantuan kotak makanan kepada 350 keluarga pelarian di kem Al-Awdah. Semalam, sehari sebelum mengakhiri tugas sebagai sukarelawan, kami mengagihkan bantuan kepada sebuah kem pelarian di Haramun, kira-kira 100 kilometer dari Lembah Beqaa.

Sumbangan untuk Program Bantuan Musim Sejuk kepada pelarian Syria boleh dibuat menerusi akaun Maybank Aman Palestin 562263010787 atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi www.amanpalestin.net

Ahmed bersama Asyah dan anak mereka yang terbantut tumbesaran menyeludup masuk ke Lubnan menerusi laluan haram di pergunungan. - NSTP/Ismail Mat
Ahmed bersama Asyah dan anak mereka yang terbantut tumbesaran menyeludup masuk ke Lubnan menerusi laluan haram di pergunungan. - NSTP/Ismail Mat
Berita Harian X