Selasa, 29 Januari 2019 | 12:02pm

Undang-Undang dana politik menjelang Disember 2020

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu memperkenalkan rang undang-undang baharu berkaitan pembiayaan politik termasuk kesalahan melobi, menjelang Disember 2020.

Ia sebahagian daripada inisiatif memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Selain itu, JPM dan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Pindaan membabitkan semua jawatan itu dijadualkan untuk diselesaikan dalam tempoh lima tahun iaitu bermula bulan ini hingga Disember 2023.

Perundangan bertulis berkaitan perisytiharan harta dan kepentingan membabitkan ahli Parlimen juga akan dilaksanakan JPM dan institusi itu menjelang Disember 2023.

JPM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula dipertanggungjawab untuk memperkenalkan sistem pengisytiharan harta serta menambah baik dasar dan mekanisme penerimaan hadiah, keraian serta bayaran anggota pentadbiran kerajaan.

NACP turut memberi tanggungjawab kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menggubal undang-undang baharu berhubung kebebasan maklumat yang perlu diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, kebebasan Jabatan Audit Negara akan diperkukuh dan diberi autonomi lebih luas dengan meletakkannya di bawah Parlimen, manakala Biro Pengaduan Awam (BPA) ditransformasi kepada Ombudsman Malaysia.

Berita Harian X