Isnin, 28 Januari 2019 | 9:02am

Lukisan gambaran perang, pembunuhan

LUBNAN: Keceriaan dan kegirangan anak pelarian Syria ketika sesi bersama sukarelawan di Kem Al-Awdah petang kelmarin, sebenarnya menyembunyikan pelbagai trauma peperangan yang pernah dilalui bersama-sama keluarga masing-masing.

Trauma anak pelarian Syria yang mendiami kem Al-Awdah di sini, terbongkar sejak tiga tahun lalu apabila Union of Relief and Development Association (URDA) yang gigih membela nasib pelarian di sini, membuka pusat khidmat sokongan kanak-kanak mangsa perang.

Menerusi program intervensi di pusat terbabit yang diadakan dua kali seminggu, sukarelawan bidang psikologi yang bertugas, berjaya mengenal pasti bentuk trauma diharungi anak pelarian yang dihantar ke situ.

Antara trauma paling teruk dilalui anak pelarian di kem ini termasuklah pengalaman menyaksikan sendiri ibu bapa, adik-beradik dan rakan sepermainan terbunuh akibat terkena tembakan dan letupan bom.

Selain itu, ada juga yang menyaksikan kediaman keluarga masing-masing ranap dibedil ketika pertempuran berlaku.

Amein, 10, bersama-sama dua lagi adik-beradiknya yang tinggal di kem ini dengan datuk mereka, adalah anak yatim piatu apabila ibu bapa mereka terbunuh dalam perang di Syria.

Guru Sukarelawan di Pusat Khidmat Sokongan Kanak-kanak Kem Al-Awdah, Rayyan Zeida, berkata ketika kali pertama dihantar ke situ sejak tiga tahun lalu, Amein banyak mendiamkan diri dan enggan berkongsi pengalaman pahit yang ditempuhinya.

“Kami mendekatinya secara perlahan-lahan sehingga dia mampu berkongsi tragedi menimpa ibu bapanya menerusi lukisan menggambarkan kedua-duanya mati ditembak.

RAYYAN membantu melukis karakter adiwira kepada anak pelarian.
RAYYAN membantu melukis karakter adiwira kepada anak pelarian.

“Amein adalah contoh kanak-kanak mangsa perang yang mampu pulih daripada trauma selepas dua tahun, namun ada juga yang belum pulih selepas tiga tahun dan memerlukan intervensi hingga kini.

Kediaman keluarga musnah

“Menerusi lukisan yang dikongsi, anak-anak yang berjaya didekati, menunjukkan gambaran kediaman keluarga yang musnah, melihat rakan sendiri mati dan pelbagai ketakutan lain sebelum kami beri khidmat sokongan sesuai dengan trauma yang dialami,” katanya.

Amein yang semakin pulih daripada trauma, turut mengambil bahagian ketika sesi bersama sukarelawan Aman Palestin kelmarin.

Semua kanak-kanak yang dihantar ke situ, perlu menghadiri 20 sesi intervensi bersama sukarelawan dalam tempoh tiga bulan bagi membantu pemulihan mereka.

Setiap sesi berlangsung selama dua jam mengikut kategori umur yang dibahagi kepada dua peringkat iaitu 7 hingga 9 tahun, dan 9 hingga 12 tahun.

Di penghujung modul pemulihan, setiap anak-anak dinilai, jika belum pulih, mereka akan terus dibantu oleh empat guru sukarelawan dengan latar belakang pendidikan kaunseling dan psikologi bertugas.

Rayyan berkata, antara lain modul empat peringkat yang digunakan di situ adalah program berkaitan ketakutan, seni lukis, perkongsian dan sokongan psikologi, serta sesi bersama ibu jika kanak-kanak itu masih mempunyai ibu.

SUKARELAWAN Aman Palestin bersama-sama anak pelarian yang
SUKARELAWAN Aman Palestin bersama-sama anak pelarian yang

“Sejak dimulakan tiga tahun lalu, seramai 500 kanak-kanak mengikuti program pemulihan di sini dan daripada jumlah itu, bagi setiap 50 anak-anak, hanya seorang atau dua sahaja yang memerlukan intervensi lanjutan,” katanya.

Ketika sesi bersama sukarelawan kelmarin, anak-anak itu berkongsi luahan hati mengenai cita-cita mereka menerusi lukisan, selain menyiapkan origami dan solekan adiwira.

Malangnya, ruang sempit pada pusat itu hanya membolehkan 30 anak-anak menyertai sesi berkenaan, menyebabkan di luar pagar masih ramai yang menjerit dan merayu untuk turut serta.

Kem Al-Awdah mempunyai kira-kira 700 kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Terima dana

Sementara itu, Pengurus URDA Pejabat Beqaa, Omar Jannoun, berkata pihaknya bercadang memperluaskan operasi pusat sokongan itu di kem lain di bawah pengurusan pihaknya sepanjang tahun ini.

“Kami baru menerima dana untuk menjayakan usaha ini yang terbukti berkesan membantu pemulihan trauma anak-anak yang menjadi mangsa perang,” katanya.

Saya tidak berpeluang menemui datuk kepada Amein kerana dia tiada di pusat itu, kelmarin.

Namun, saya bersama-sama ketua sukarelawan, Anas Abdul Wahab, akan berusaha menziarahi khemah penempatan empat beranak dalam tempoh terdekat ini untuk memahami penderitaan yang ditempuh mereka selama ini, mungkin kami dapat membawa sedikit keceriaan kepada anak yatim piatu yang masih kecil dahagakan kasih sayang ibu dan bapa dalam mengharungi kehidupan yang serba tidak menentu di kem berkenaan.

Ikuti laporan selanjutnya dalam akhbar BH esok.

ANAK pelarian Syria yang menyertai program pemulihan trauma di pusat khidmat sokongan
ANAK pelarian Syria yang menyertai program pemulihan trauma di pusat khidmat sokongan
Berita Harian X